suria

Kanak-kanak Tiga Tahun Maut Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun mati selepas kediaman keluarganya di tingkat dua sebuah rumah kedai di Central Point, Taman Sri Gombak di sini, terbakar, Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang Zakaria Aini berkata Praveen Annadhurai, anak bongsu daripada enam adik beradik, ditemui parah melecur di kepala dan tangan kanannya, selepas terperangkap dalam kebakaran yang berlaku pada 11.30 pagi ini.

"Anggota bomba membawanya untuk menerima rawatan kecemasan di sebuah klinik berhampiran namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian di klinik itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Zakaria berkata bahawa semasa kebakaran bermula, Praveen dipercayai sedang tidur manakala seorang kakak dan abangnya yang tidur di bilik berasingan sempat keluar menyelamatkan diri.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Ayah Praveen, Annadhurai, 46, seorang pemandu teksi, berkata apabila menerima panggilan kecemasan daripada seorang anak perempuannya berhubung kebakaran itu, beliau terus balik rumah untuk menyelamatkan anaknya.

"Tapi bomba sudah bawa dia keluar," katanya. Annadhurai berkata bahawa ketika kejadian isteri dan anaknya yang lain telah keluar ke pasar Chow Kit untuk membeli barang rumah.

Kebakaran yang hanya melibatkan tingkat dua rumah kedai tiga tingkat itu, berjaya dipadamkan oleh anggota bomba dari Selayang, Rawang dan Gombak Selatan.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain