suria

200 anggota PKR Wangsa Maju Sertai UMNO

KUALA LUMPUR: Dua ratus anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Wangsa Maju pada Rabu bertindak keluar daripada parti itu dan menyertai Umno kerana mereka mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka yang diwakili oleh bekas ketua cabang tersebut, Mohd Nasir Husin, menyerahkan borang keanggotaannya kepada Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Datuk Mohd Shafei Abdullah di pejabat Umno di sini.

Mohd Nasir yang pernah mengetuai cabang itu dari 1999 hingga 2004 berkata walaupun Anwar mendakwa memperjuangkan keadilan dan reformasi tetapi sebenarnya ia lebih kepada kepentingan peribadi.

Beliau berkata kira-kira 1,000 lagi anggota PKR cawangan tersebut dijangka menyertai Umno dalam tempoh tiga hingga empat bulan dari sekarang.

Menurutnya beliau akan mengetuai program ceramah di sekitar Wangsa Maju untuk mendedahkan kepincangan PKR supaya pengundi kembali yakin kepada BN.

Sementara itu, Mohd Shafei berkata dengan penyertaan mereka ke dalam Umno, parti itu akan lebih yakin memenangi semula kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Pada pilihan raya umum 2008, kawasan Parlimen Wangsa Maju dimenangi oleh wakil PKR Wee Choo Keong mengalahkan penyandang Yew Teong Look (BN) dengan perbezaan 150 undi.

Bagaimanapun, Wee, yang juga bekas anggota majlis tertinggi PKR, bertindak keluar daripada parti itu Mei lepas kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain