suria

Pengundi Galas Dan Batu Sapi Boleh Semak Maklumat Melalui Laman Web SPR

KUALA LUMPUR: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan dan kawasan Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah boleh membuat semakan melalui laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memudahkan urusan pengundian pada pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu, Khamis ini.

Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata perkara yang boleh disemak oleh pengundi ialah tempat pengundian, nombor saluran mengundi dan nombor siri pemilih bagi tempat (saluran) untuk mengundi.

Dalam satu kenyataan, Sabri berkata orang ramai boleh membuat semakan pengundian melalui laman web SPR dengan hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan atau melalui perkhidmatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR<jarak>No Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888. Setiap SMS dikenakan bayaran RM0.35.

Sabri berkata semakan juga boleh dibuat melalui kaunter semakan pengundian yang dibuka di bahagian pilihan raya Batu Sapi dan Galas atau menghubungi Pejabat pilihan raya dua kawasan ini, masing-masing di talian 088-484550 atau 088-484766 (Batu Sapi) dan 09-7482510 (Galas) sehingga Rabu ini. - BERNAMA

Artikel Lain