suria

Pencinta Haiwan Berang Gambar Anak Anjing Digantung Dalam Twitter

KUALA LUMPUR: Perbuatan individu tidak bertanggungjawab menyiarkan gambar seekor anak anjing yang diikat di leher dan digantung dalam laman sosial twitter menimbul kemarahan pertubuhan pencinta haiwan, Sabtu.

Justeru Persatuan Hak Asasi Haiwan Malaysia hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini terhadap penyiaran sekeping gambar penderaan seekor anak anjing yang digantung dengan tali di lehernya oleh dua lelaki di sebuah laman sosial, Twitter beberapa hari lepas.

Presiden persatuan itu N. Surendran berkata beliau meminta pihak polis segera menyiasat perkara tersebut dan mendakwa kedua-dua lelaki itu ke mahkamah di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) kerana mendera haiwan.

"Penyebaran gambar itu memberi imej negatif serta memalukan negara kerana kita tahu rakyat Malaysia bencikan kekejaman, penderaan seperti ini kerana kita terkenal dengan sikap penyayangnya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Sementara itu Presiden Persatuan Terapi Bantuan Haiwan Untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas (PETPOSITIVE) Anthony Siva Bala Thanasayan berkata penderaan tersebut terlalu kejam kerana ia membabitkan haiwan yang sepatutnya dilindungi manusia.

"Saya amat terkejut dengan perkara ini kerana kami di PETPOSITIVE membela nasib haiwan... tambahan lagi anak anjing membantu kami golongan OKU untuk hidup dengan lebih positif. Gambar macam ini cukup menyedihkan dan saya berharap tindakan diambil ke atas orang yang tidak bertanggungjawab itu," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain