suria

220 Pusat Asuhan Di Bawah Permata Ditambah Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan untuk memperluas sebanyak 220 lagi pusat asuhan kanak-kanak di bawah Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PERMATA Negara) pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 647 di seluruh negara. Menurut Laporan Ekonomi 2010/2011 yang keluarkan Jumaat, sebanyak empat lagi program telah ditubuhkan tahun ini di bawah program induk iaitu PERMATA Seni, PERMATA Pintar, PERMATA Insan dan Perkasa Remaja.

Program PERMATA Seni yang dilancarkan awal tahun ini yang tertumpu kepada menggilap bakat seni, menunjukkan keberkesanannya apabila program koir, salah satu dari dua komponennya selain muzik, telah membuat persembahan bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara.

Selain itu, program PERMATA Pintar yang lebih tertumpu kepada membimbing kepintaran luar biasa pelajar turut mencatatkan kejayaan apabila hampir satu juta pelajar menyertai ujian khas 'Intelligence Quotient' (IQ) yang bertujuan mengenal pasti pelajar cemerlang.

Tambahan pula, satu perbincangan dengan Universiti Johns Hopkins juga sedang berjalan bagi melatih pensyarah dan juga mengendalikan perkhemahan musim panas bagi pelajar-pelajar di Washington D.C.

Bagi program PERMATA Insan yang bertujuan untuk pemahaman ajaran Islam dengan lebih mendalam pula, satu kurikulum komprehensif sedang diusahakan kerajaan melalui rundingan pakar dalam bidang yang berkaitan Al-Quran, Sains, Kerohanian, Bahasa Arab, dan Bahasa Inggeris.

Buat masa ini, seramai 9,000 pelajar telah dinilai dan kelompok pertama terdiri daripada 50 peserta dijangka akan menghadiri latihan Disember tahun ini.

Bagi program Perkasa Remaja yang bertujuan untuk melatih remaja lebih bertanggungjawab dan menyumbang secara positif kepada masyarakat, kerajaan juga telah melancarkan dua program iaitu Kem Perkasa Remaja bagi memperbaiki sikap 'Mat Rempit' dan Komuniti Perkasa Remaja untuk meningkatkan kesedaran sivik remaja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain