suria

Pembelian Rumah PPR DiPermudah Sehingga Disember Ini

KUALA LUMPUR: Pembelian rumah bagi penghuni yang menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kini dipermudah menerusi karnival bersama bank, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung sehingga Disember ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Bakaruddin Othman berkata ia diadakan di sembilan zon termasuk PPR Seri Pantai (24 Okt), PPR Muhibbah (30 Okt), PPR Beringin (6 Nov), PPR Hiliran Ampang (13 Nov), PPR Kerinchi (14 Nov) PPR Batu Muda (20 Nov), PPR Air Panas (27 Nov) dan Dataran Seri Kota (4 Dis).

"Pada karnival ini, kita sediakan kemudahan seperti permohonan pinjaman bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta DBKL, dan kepada mana-mana pihak yang berkelayakan, bolehlah berbuat demikian di tapak karnival berhampiran kediaman mereka.

"Justeru, dengan adanya agensi-agensi berkenaan, diharap ia dapat memudahkan proses permohonan pembelian rumah oleh para penghuni," katanya kepada pemberita selepas meninjau karnival itu yang berlangsung di PPR Raya Permai, Sabtu.

Beliau berkata karnival yang bermula April lepas itu merupakan sebahagian usaha kerajaan bagi memastikan sasaran 71 peratus daripada 44,146 unit rumah PPR MTEN dan PA DBKL dijual kepada penyewa.

"Setakat 30 Sept tahun ini, 35,095 borang pembelian telah diedarkan. Sebanyak 23,431 penyewa telah menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran membeli rumah-rumah tersebut, manakala seramai 18,828 bakal pembeli yang layak, telah menerima surat tawaran pembelian rumah daripada pihak DBKL," katanya.

Bakaruddin berkata rumah PPR MTEN dijual pada harga RM35,000 seunit manakala PA DBKL dijual serendah RM21,500 seunit, bergantung kepada saiznya.

"Mereka boleh membiayai permohonan pembelian rumah menerusi tiga kaedah iaitu bayaran secara tunai, pinjaman perumahan kerajaan (bagi penjawat awam) dan pinjaman bank dengan pilihan tawaran sama ada skim pinjaman biasa, skim pinjaman bersama dan skim pinjaman dua generasi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, penghuni yang belum berkemampuan diberi jaminan boleh terus menyewa PPR yang didiami sehingga mereka berupaya membeli rumah itu pada suatu masa nanti.

Program penjualan rumah PPR MTEN dan PA DBKL telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Okt 2009 sebagai hadiah kepada rakyat dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya penyewa, untuk memiliki rumah sendiri di bawah konsep "Satu Keluarga Satu Rumah." -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain