suria

Malaysiakini, Zunar Dibenar Cabar Pengharaman Buku

KUALA LUMPUR: Portal web berita Malaysiakini.com dan seorang penerbit buku kartun politik hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan penjualan dua buku.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran untuk semakan kehakiman yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon agar perintah pengharaman penjualan kedua-dua buku itu dibatalkan selepas mendengar hujah daripada peguam pemohon, K. Shanmuga, dan Peguam Kanan Persekutuan Noorhisham Ismail yang mewakili responden.

Shanmuga memberitahu pemberita bahawa Noorhisham tidak membantah terhadap permohonan itu dan mahkamah menetapkan 8 November ini untuk pengurusan kes.

Shanmuga mewakili pemohon, MKINI Dotcom Sdn Bhd dan syarikat penerbitan, Sepakat Efektif Sdn Bhd, manakala Noorhisham mewakili Menteri Dalam Negeri dan timbalannya.

Pada 26 Julai lepas, MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan Sepakat Efektif, bagi pihak Zulkiflee SM Anwarul Haque, seorang kartunis politik dengan nama pena 'Zunar', memfailkan dua permohonan berasingan bagi mencabar keputusan mengharamkan buku bertajuk '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun'.

Dalam permohonan itu, MKINI Dotcom berkata buku versi Inggeris, '1 Funny Malaysia', diterbitkan oleh Malaysiakini pada November 2009 di mana hampir semua kartun dalam buku itu disiarkan dalam web Malaysiakini dari Oktober 2006 hingga November 2009, adalah kompilasi kartun yang dihasilkan oleh Zunar yang mengandungi kartun-kartun politik berbentuk sindiran atau satira mengenai isu politik Malaysia dan pentadbiran.

Dalam permohonannya, syarikat penerbitan itu berkata buku versi Bahasa Melayu 'Perak Darul Kartun', diterbitkan pada November 2009 dan menyiarkan kartun politik oleh beberapa artis tempatan yang dipimpin oleh Zunar.

Mereka berkata pada 25 Mei lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri bagi pihak menteri telah mengeluarkan perintah melarang penerbitan, produksi, penjualan, pengedaran atau pemilikan dua buku itu dengan alasan ianya memudaratkan ketenteraman awam.

MKINI berkata kartun dalam buku itu telah diterbitkan di laman web berkenaan lebih dua tahun dan buku itu telah berada di pasaran selama tiga bulan sebelum dirampas.

Sepakat Efektif pula mendakwa buku 'Perak Darul Kartun' telah berada di pasaran selama enam bulan sejak November 2009 dan mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai buku itu mengancam ketenteraman awam.

Pemohon menuntut antara lainnya perintah membatalkan pengharaman buku itu dengan alasan pengharaman itu tidak sah kerana melanggar Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan juga bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain