suria

Stesen Penyiaran Masih “Pekak”

Kumpulan Hijau Daun dari Indonesia
Kumpulan Hijau Daun dari Indonesia
Kumpulan Hijau Daun dari Indonesia

KETIKA Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) tak habis-habis menghina dan mencaci rakyat negara ini, stesen radio dan televisyen kita masih tak sedar diri. Mereka masih pekak atau buat-buat pekak, tak tahulah.

Lagu-lagu artis Indonesia dan program-program dari negara itu masih disiarkan. Sudahlah wang dari negara kita dibawa keluar oleh pembantu-pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara ini, kita juga terpaksa mengagihkan royalti kepada badan hak cipta negara itu. Ini tak adil.

Memang tak adil. Kita semua harus sedar. Niezam bukan dengki dengan rezeki orang lain tetapi Niezam amat benci dengan keganasan dan mereka yang suka mencetuskan permusuhan.

Satu contoh yang memang biadab sebilangan manusia tak sedar diri di Indonesia sana. Kerana kebiadaban mereka yang tergamak menghina negara kita, stesen-stesen penyiaran sepatutnya melihat perkara itu dengan lebih sensitif.

Rancangan-rancangan televisyen dari Indonesia hendaklah dihentikan segera. Lagu-lagu mereka juga hendaklah diboikot terus. Kita tak boleh bagi muka lagi.

Kita ada produk kita sendiri. Ramai artis dan penyanyi menangis mengadu lagu-lagu mereka tak diputarkan oleh stesen radio. Tapi stesen radio masih lagi memainkan lagu-lagu artis Indonesia ketika rakyat negara itu menghina maruah kita.

Niezam agak terkejut apabila mendengar sebuah stesen radio swasta menyiarkan promo dan ucapan daripada kumpulan Hijau Daun baru-baru ini.

Kita sudah tak ada artis atau kumpulan muzikkah sehingga mahu memberi peluang kepada kumpulan itu muncul? Artis kita yang berlambak tidak dilayan dengan baik tetapi artis-artis luar yang belum tentu dapat memberi faedah kepada kita mendapat layanan kelas pertama.

Niezam harap satu garis panduan baru hendaklah dikeluarkan segera kepada stesen penyiaran supaya lebih memartabatkan produk sendiri.

Sedihnya ketika negara sedang dihina, tak ada pihak yang kisah dengan masalah itu. Itulah kita yang sanggup melihat orang pijak kepala.

Niezam: Pijak semut.

Kasihan Hairie Othman

Niezam nak tumpang simpati membaca kisah pelakon Hairie Othman (gambar) yang mengaku sudah enam bulan tak ada tawaran berlakon.

Tahniah kepada Hairie kerana dia tidak menipu. Hairie berterus terang yang dia sekarang semakin “pokai” apabila tawaran berlakon untuknya sudah berkurangan.

Hairie tak malu nak bercerita kepada orang tentang kepayahan yang dia alami pada hari ini.

Niezam tahu, sebagai seorang pelakon, tak ada pekerjaan lain yang Hairie boleh buat. Nak jadi tukang masak, memasak pun tak pandai. Yang dia pandai hanyalah menjadi seorang pelakon.

Apabila Hairie mengaku tawaran berlakon untuknya sudah tak ada, Niezam dapat bayangkan macam mana Hairie nak makan? Orang macam Hairie memerlukan perbelanjaan yang banyak. Nak bayar sewa rumah, kereta, itu dan ini.

Tak semua artis pada hari ini mampu berterus-terang seperti Hairie. Ramai artis gemar menceritakan kemewahan masing-masing dan tak sanggup nak memberitahu kesusahan hidup mereka. Alasannya sebagai artis kena jaga “standard”. Pirahhh... Buat apa nak jaga standard kalau poket itu kosong.

Niezam pernah terserempak dengan seorang bintang AF yang kerjayanya pun hidup segan mati tak mahu. Apabila Niezam tanya kenapa sudah lama tak nampak? Jawapan yang dia bagi banyak “show”. Sebab itu susah nak jumpa.

Rupa-rupanya mengikut cerita kawan serumahnya, si artis tak buat apa-pun. Hanya duduk goyang kaki di rumah sambil makan mi segera.

Itu antara contoh artis kita yang mahu dilihat sentiasa hidup mewah dan senang lenang tetapi sebaliknya tidak begitu.

Apa yang berlaku kepada Hairie harus menjadi pengajaran juga kepada artis-artis lain yang selama ini leka dengan dunia seni. Semua orang boleh jadi pelakon tetapi semua orang juga harus ingat tak semua pelakon itu boleh hidup senang kemudian hari.

Niezam: Syukur dengan apa yang ada hari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain