suria

SUPP Mungkin Tiada Tempat Dalam Kerajaan Sarawak

KUALA LUMPUR: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti terbesar berasaskan kaum Cina di Sarawak, berkemungkinan besar tidak akan mempunyai wakilnya dalam Kabinet negeri itu sekiranya ia gagal mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina pada pilihan raya negeri akan datang.

Parti tersebut sendiri amat bimbang tentang berlakunya senario itu jika semua calonnya kalah pada pilihan raya berkenaan, yang boleh diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang hingga Julai tahun depan.

Kawasan majoriti kaum Cina Pending, Batu Lintang, Padungan (Kuching), Bukit Assek dan Bawang Assan (Sibu), Piasau dan Senadin (Miri) dan Repok (Sarikei) adalah antara 19 kerusi yang diperuntukkan kepada SUPP.

Pada pilihan raya negeri 2006, SUPP kalah lapan kerusi, separuh daripadanya di kawasan majoriti pengundi Cina, walaupun beberapa pemimpin utamanya terselamat, termasuk presiden parti Tan Sri Dr George Chan Hong Nam (Piasau), timbalan setiausaha agung Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan bendahari agung David Teng Lung Chi (Repok).

Empat kawasan majoriti pengundi Cina yang gagal dipertahankan parti itu pada 2006 ialah Pending, Batu Lintang, Padungan (semuanya di Kuching) dan Bukit Assek (Sibu). SUPP juga tewas di empat kawasan yang mempunyai pengundi daripada pelbagai kaum Kota Sentosa (di Kuching), Meradong (Bintangor), Kidurong (Bintulu), dan di satu kawasan majoriti masyarakat Iban, Engkilili (Sri Aman).

Bagaimanapun, parti itu mencapai kemenangan di kawasan lain yang mempunyai majoriti pengundi Cina seperti Piasau (Miri) melalui Timbalan Ketua Menteri dan presiden parti Tan Sri Dr George Chan dan Bawang Assan yang ditandingi timbalan setiausaha agungnya Datuk Seri Wong Soon Koh.

Kemenangan itu membolehkan SUPP terus mengekalkan dua jawatan menteri dalam Kabinet negeri, termasuk satu jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Tetapi, bagaimana pula peluang SUPP pada pilihan raya negeri akan datang? Daripada keseluruhan 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berasaskan masyarakat bumiputera, mungkin diperuntukkan jumlah kerusi paling besar iaitu 35, diikuti SUPP sebanyak 19 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sembilan dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lapan.

Satu perkara yang menarik ialah walaupun SUPP kalah di semua kerusi yang ditandinginya, namun parti komponen Barisan Nasional (BN) lain diyakini akan terus mendapat sokongan padu daripada pengundi untuk membolehkan parti pemerintah itu terus menubuhkan kerajaan negeri.

Berdasarkan hakikat ini, maka tidak hairanlah beberapa pemimpin SUPP begitu bersungguh-sungguh menyeru masyarakat Cina di Sarawak supaya "bijak membuat keputusan" agar kaum itu tidak kehilangan wakilnya dalam kerajaan negeri akibat tindakan anggotanya menolak SUPP.

Sehubungan itu, dalam rayuannya kepada masyarakat Cina supaya tidak mengorbankan "kekuatan politik" mereka, Wong, yang juga pengerusi SUPP Cawangan Sibu, secara terbuka berkata kaum Cina akan mengalami kerugian besar sekiranya mereka tidak memberi undi kepada SUPP.

Bagaimanapun, seorang penganalisis politik dari Universiti Monash di sini, Prof James Chin, membayangkan pengundi Cina mungkin tidak termakan rayuan Wong itu apabila beliau mempersoalkan tentang daya tarikan yang dimiliki para pemimpin SUPP sekarang, yang kebanyakannya sudah berusia lanjut.

Beliau mendakwa para pemimpin SUPP yang lebih muda mengharapkan perubahan serta pembaharuan dilaksanakan untuk membolehkan parti itu terus maju dan diterima oleh lebih ramai pengundi.

Bagaimanapun, penolakan SUPP oleh pengundi pada pilihan raya berkenaan mungkin membawa rahmat kepada parti itu kerana ia akan memaksa parti berkenaan melakukan perubahan dalam erti kata sebenarnya seperti yang telah dilakukan parti Kuomintang (KMT) di Taiwan sebelum ia muncul kembali sebagai sebuah parti yang kuat, kata Chin.

DAP pula menuduh SUPP menggunakan sentimen perkauman untuk menarik sokongan pengundi Cina.

Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata walaupun SUPP berusaha memikat hati kaum Cina di negeri ini sejak 40 tahun lepas dengan mendakwa mereka perlu memberi mandat kepada parti itu untuk mewakili mereka dalam BN, namun pengundi Cina di kawasan bandar yang terpelajar dan memiliki kesedaran mendalam tentang politik, tidak termakan umpan itu.

Berdasarkan penilaian SUPP, parti itu boleh mencapai kemenangan di empat kawasan majoriti masyarakat Bidayuh yang disifatkannya sebagai kerusi selamat iaitu Opar, Bengoh, Simanggang dan Engkilili. Baki 15 kerusi lagi diletakkannya dalam kategori "hitam" atau "kelabu", dengan kebanyakan kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Cina diletakkan dalam dalam kategori "kawasan hitam", manakala kawasan pengundi bercampur pula digolongkan sebagai kawasan "kelabu".

Kawasan yang dikategorikan sebagai "hitam" ialah Pending, Padungan, Batu Lintang, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Assek, Kidurong dan Repok, manakala tujuh "kawasan kelabu" yang dimaksudkannya ialah Batu Kawa, Bawang Assan, Pelawan, Dudong, Piasau, Senadin dan Pujut.

Sekiranya SUPP hanya menang di segelintir kawasan yang mempunyai pengundi daripada pelbagai kaum, maka parti yang turut mendakwa mewakili kaum Dayak itu, ditimpa nasib yang sungguh malang, kata ketua publisiti SUPP Cawangan Sibu, Daniel Ngieng. Presiden LDP Datuk V.K Liew pula berkata parti kopmponen BN lain juga bimbang sekiranya SUPP kalah di semua kawasan majoriti Cina, ia menghantar suatu mesej yang amat jelas kepada masyarakat Cina di negeri lain.

Liew berkata beliau yakin bahawa kemenangan yang dicapai DAP di kebanyakan kawasan majoriti kaum Cina pada pilihan raya negeri Sarawak 2006, memberi semangat kepada parti Pembangkang itu dalam usahanya untuk menafikan BN daripada memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008.

Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow pula berkata parti-parti berasaskan kaum Cina dalam BN amat bimbang tentang kesan buruk yang akan mereka alami sekiranya SUPP mencatat prestasi buruk pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain