suria

Besut Daerah Tertinggi Catat Tangkapan Kes Dadah Di Terengganu

BESUT: Besut merupakan daerah tertinggi mencatat jumlah tangkapan kes melibatkan penagihan najis dadah berbanding daerah lain di negeri Terengganu.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Wan Addenan Wan Mohd Noor berkata jalinan kerjasama antara AADK negeri dan pihak polis membolehkan jumlah tangkapan penagih dadah meningkat berbanding tahun lalu.

Katanya dari tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 819 penagih dadah iaitu 595 orang penagih baru dan 224 penagih berulang telah ditangkap dan telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Tahun lalu, seramai 226 orang penagih ditahan di daerah ini," katanya kepada pemberita selepas Program Jom Cegah Dadah, Pemimpin Cakna Masyarakat yang dirasmikan Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin di Dataran Medan Selera Jerteh di sini, Sabtu.

Wan Addenan berkata beliau percaya sekiranya operasi yang lebih kerap dan agresif dilakukan di seluruh negeri, jumlah tangkapan juga akan meningkat di setiap daerah.

Sementara itu Dr Abdullah berkata semua wakil rakyat di daerah itu sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha memerangi penagihan dadah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain