suria

Majlis pengebumian Isma Aliff akan diteruskan walau dua anak tak hadir

Majlis pengebumian arwah tetap berjalan seperti dirancang.

DUA anak kepada pelakon dan penyanyi Allahyarham Isma Aliff dikatakan gagal dihubungi bagi memaklumkan berita pemergian bapa mereka pada pagi Rabu. 

Susulan itu adik kepada Allahyarham iaitu Shamsidah Ismail, 60, memberitahu pemberita bahawa urusan pengebumian jenazah akan diteruskan tanpa menunggu kehadiran kedua-dua anak saudaranya itu.

Menurut Shamsidah, kali terakhir Isma bertemu anak-anak adalah sekitar dua tahun lalu dan sejak itu mereka tidak pernah muncul termasuk ketika sambutan Aidilfitri. 

Shamsidah sudah cuba hubungi dua anak arwah namun usaha itu gagal.

“Hari ini pun saya maklumkan ayah mereka sudah meninggal dunia, tapi tiada respons. Anak saya juga ada cuba hubungi, namun panggilan ditolak. 

"Jadi proses pengebumian hari ini kami tak tunggu mereka,” katanya kepada mStar.

Shamsidah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Kampung Melayu Ampang, Rabu.

Difahamkan arwah mempunyai seorang isteri serta anak lelaki dan perempuan yang masing-masing menetap di Perak dan Shah Alam, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Isma Aliff kerap ucap nak balik ‘rumah’, sempat tinggal pesan akhir buat adik

ARTIKEL BERKAITAN: Isma Aliff meninggal dunia

Shamsidah juga berkata pihaknya pernah beberapa kali memaklumkan tentang keadaan kesihatan bapa mereka sebelum ini, namun menganggap mereka tidak berkesempatan untuk bertemu buat kali terakhir.

“Saya bukan nak mengaibkan sesiapa, cuma saya ada beritahu ayah mereka bukan dalam keadaan baik. Jumpalah selagi dia masih boleh bercakap.

“Walaupun percakapannya sudah tidak jelas, tentulah sebagai seorang bapa dia ingin berjumpa anak-anaknya. Saya anggap belum ada rezeki untuk mereka berjumpa,” ujarnya. 

Tambah Shamsidah, mesej yang dihantar kepada kedua-dua anak arwah sebelum ini hanya menerima maklum balas ringkas, namun tiada sebarang khabar diterima selepas itu.

Hari ini pun saya maklumkan ayah mereka sudah meninggal dunia, tapi tiada respons.

SHAMSIDAH ISMAIL

ADIK ISMA ALIFF

Walaupun sedih dengan situasi ini, Shamsidah memberitahu arwah Isma sentiasa berlapang dada dan tidak menyimpan sebarang rasa kecewa.

“Tak tahulah kenapa, tapi bagi saya ayah tetap ayah. Arwah selalu pesan, selagi anak-anak bahagia, dia pun tumpang bahagia,” ujarnya.

Dalam temu bual sebelum ini, Isma pernah berkongsi rasa gembira apabila dapat berjumpa anak sulungnya pada malam sambutan Aidilfitri tahun 2024 . 

Sebelum itu, mereka dikatakan tidak bersua muka selama setahun.

Allahyarham Isma meninggal dunia pada usia 61 tahun.

Isma Aliff atau Muhammad Latiff Ismail, 62, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya sekitar pukul 8.30 pagi Rabu.

Isma mendirikan rumah tangga dengan Norha Rafie pada 1986 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Jenazah diuruskan di Masjid Jami'Ilhuda Ampang, Selangor dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat Asar hari ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain