suria

Cekik Darah Di bulan Syawal Ke?

KETIKA pulang beraya di Pulau Pinang, penulis mengambil kesempatan untuk menjamu selera di Medan Selera Padang Kota Lama yang popular dengan menu sotong bakar, kerang rebus dan bakar, kuey tiaw, serta pasembur (yang dipanggil rojak di Kuala Lumpur).

Bagaimanapun penulis terkejut beruk apabila kuey tiaw goreng yang dihidangkan bersama tiga ekor udang bersais sederhana dijual pada harga RM9 sepinggan. Selera penulis pun tiba-tiba hilang. Lalu penulis pun ingin memesan pasembur.

Tidak sepertimana di sini, di Padang Kota Lama, kita sendiri pilih ramuannya - sama ada hendak letak sotong, ketam, udang, paru, kentang, keropok atau cucur goreng dan lain-lain lagi.

Penulis hanya memilih ramuan asas sahaja tanpa apa-apa ramuan yang mewah seperti udang, ketam mahu pun sotong. Tak berapa banyak pun ramuan yang penulis pilih. Dan teka harganya. RM11 sepinggan. Mak datuk, di KL pun tak semahal ni.

Jika ramuan yang basic pun dah RM11, penulis tidak dapat menganggak berapa agaknya jika ada pelanggan yang memilih udang, ketam atau sotong. Dah pasti tidak kurang RM20 sepinggan.

Lepas habis menjamu selera dengan pasembur RM11, penulis pun teringin nak makan sotong bakar yang digelek nipis. Sekali lagi penulis terkejut beruk. Harganya, RM20 sepinggan. Kerana teringin punya fasal, penulis pun orderlah. Lepas membalun sakan sotong bakar, selera penulis tidak padam-padam lagi lalu penulis pesan kerang bakar. Sepinggan RM10. Melampau betul harga yang dikenakan ke atas semua menu di medan selera ni.

Penulis tertanya-tanya, kenapakah mereka meletakkan harga yang sebegitu tinggi memandangkan makanan laut bukanlah makanan asing dan sukar diperolehi di sebuah negeri yang dikelilingi laut seperti Pulau Pinang. Tidak logik sungguh. Apatah lagi harga yang dicajkan tidak sepadan dengan suasana medan selera yang panas dan berwap itu. Bukannya bertaraf lima bintang sepertimana di hotel atau restoran mewah.

Kadang-kadang bila difikir-fikirkan semula, melampau betul para peniaga di Padang Kota Lama ini mengenakan pelanggan. Medan selera itu adalah milik Kerajaan Negeri dan sudah pastinya sewa yang dikenakan adalah pada kadar subsidi tetapi cara mereka mengena pelanggan benar-benar cekik darah sampai ke tahap di luar logika.

LAGI TENTANG MAKAN (kali ini tidak melampau)...

Pada hari keenam raya, penulis sekali lagi menyeberang ke Pulau Pinang. Kali ini untuk menikmati nasi kandar di satu-satunya kedai nasi kandar yang masih mampu mengekalkan keenakan rasa nasi kandar asli Pulau Pinang sejak turun temurun. Ia adalah restoran nasi kandar Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Khabarnya selepas lima hari ditutup kerana Aidil Fitri, inilah hari pertama ia dibuka semula. Apa lagi, setibanya penulis di hadapan restoran itu pada jam 8.30 pagi, orang beratur panjang macam ular. Perlu penulis sebutkan, di Pulau Pinang, orang makan nasi kandar pada awal pagi sama seperti orang Batu Pahat atau Muar makan satay di awal pagi.

Dalam situasi ini, penulis terdengar seorang pelanggan mengeluh, “Dah beratur panjang macam ni kalau tiba giliran kita tiba-tiba nasi habis, boleh berlaku peristiwa amuk ni...!” Dia tidak perlu mengamuk kerana orang belum pernah mengamuk di Pulau Pinang kerana nasi tak cukup.

Satu keunikan nasi kandar Kampung Melayu ialah nasi yang dihidangkan tidak banyak dan tidak sedikit. Cukup untuk membuatkan kita berhenti sebelum kenyang. Bapa penulis selalu berpesan, kalau benar-benar hendak menikmati nasi kandar, jangan tambah selepas habis.

Tetapi kali ini penulis cuba melanggar pantang larang itu. Ketika tiba giliran penulis, penulis minta agar ditambahkan nasi sedikit lagi. Selepas tujuh minit, penulis bergelut untuk menghabiskan sepinggan nasi itu - sesuatu yang tidak pernah berlaku setiap kali penulis menikmati nasi kandar Flat Kampung Melayu. Rupa-rupanya benar sungguh apa yang dikhabarkan oleh bapa penulis.

Itulah rahsianya. Makan jangan tambah nasi, isinya biar sederhana, telur rebus, daging gulai dan ikan bawal (kalau boleh bahagian ekor). Bapa penulis berpesan, kalau makan lebih dari itu, bukan nasi kandar namanya tapi melantak tak ingat dunia.

Selepas kekenyangan membalun nasi kandar, penulis tunggu melihat gelagat orang-ramai sehingga jam 11 pagi. Hebatnya nasi kandar Flat Kampung Melayu ni sehingga dini hari orang masih beratur panjang macam ular seawal jam 8.30 pagi tadi. Orang sanggup datang beratur semata-mata kerana sepinggan nasi kandar.

Malah penulis perhatikan orang dari luar Pulau Pinang pun ramai. Dan penulis yakin, selepas menikmati nasi kandar original ini, siapa sahaja yang pertama kali merasainya akan berkata, dunia nasi kandar mereka tidak akan sama lagi.

(Nota: Sepinggan nasi kandar yang penulis makan, dengan nasi lebih, dua potong daging gulai, sebiji telur rebus, sepotong ikan bawal kari, dua batang bendi, harganya RM7.60 - tidak melampau).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain