KELIBAT sebuah kereta peronda polis (MPV) yang dirakam berhenti untuk mengambil bungkusan plastik putih di sebuah kedai mamak mendapat perhatian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung penularan video berdurasi 12 saat yang dirakam pada waktu siang itu. "Rakaman video menunjukkan pekerja restoran mamak menghampiri MPV berkenaan. Pekerja restoran mamak kemudian dilihat memberi dua bungkusan plastik berwarna putih kepada pemandu MPV itu."Pihak IPD Sungai Buloh tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang membuat salah laku yang boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.Jelas Hafiz, perkara itu disiasat dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota serta pegawai yang terbabit.Dalam pada itu, Hafiz menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh mencemarkan imej PDRM.Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan sebuah MPV melalui jalan di tengah deretan kedai sebelum berhenti di sebuah restoran mamak.Salah seorang individu berada dalam MPV itu kemudiannya menyambut bungkusan makanan diberikan oleh salah seorang pekerja restoran, dipercayai berlaku pada waktu siang ketika Ramadan.