suria

Ramadan cukup 30 hari, umat Islam sambut 1 Syawal pada 20 Mac di UAE

Cerapan anak bulan digunakan untuk menentukan pertukaran dalam kalendar Islam. -Gambar hiasan AI

AKADEMI Sains Astronomi, Angkasa Lepas dan Teknologi Sharjah (SAASST) menjangkakan Aidilfitri di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan disambut pada Jumaat, 20 Mac, sekali gus menandakan Ramadan tahun ini cukup 30 hari.

Menurut laporan Agensi Berita Emiriah (WAM), balai cerap astronomi di bawah SAASST membuat penentuan itu berdasarkan pengiraan astronomi berkaitan kedudukan anak bulan Syawal 1447 Hijrah.

SAASST memaklumkan anak bulan dijangka tidak dapat dilihat pada Rabu, 18 Mac, iaitu malam ke-29 Ramadan yang biasanya digunakan untuk cerapan anak bulan.

Ini kerana pada malam berkenaan, bulan terbenam lebih awal daripada matahari di ufuk barat, menyebabkan Khamis, 19 Mac lengkapkan 30 hari Ramadan.

Balai cerap itu turut menjelaskan kesebarisan bulan akan berlaku sekitar 4.24 pagi waktu UAE pada Khamis.

Ketika matahari terbenam pada hari sama, usia anak bulan dianggarkan sekitar 14 jam enam minit dengan jarak sudut kira-kira 6.5 darjah dari matahari dan berada sekitar enam darjah di atas ufuk barat.

Namun, anak bulan itu hanya berada di langit kira-kira 29 minit selepas matahari terbenam, menjadikan peluang untuk melihatnya amat sukar.

Menurut SAASST lagi, keadaan tersebut hampir mustahil untuk membolehkan anak bulan dilihat, walaupun menggunakan teleskop, apatah lagi dengan mata kasar.

Walaupun begitu, kemungkinan anak bulan dapat dilihat di beberapa negara Arab dan Islam lain masih ada kerana faktor geografi yang lebih sesuai.

SAASST menjangkakan, 1 Syawal di UAE dan sambutan Aidilfitri bagi kebanyakan negara Islam akan jatuh pada Jumaat, 20 Mac, dengan izin Allah.

Bagaimanapun, negara yang bergantung sepenuhnya kepada cerapan mata kasar atau teleskop, khususnya yang memulakan Ramadan pada Khamis, 19 Februari, mungkin akan menyambut Aidilfitri sehari lewat iaitu pada Sabtu, 21 Mac.

Artikel Lain