suria

Sikap Buruk Pemandu Pentingkan Diri Sendiri Punca Kemalangan - Mufors

KUALA LUMPUR: Sikap buruk dan pemandu yang pentingkan diri sendiri merupakan faktor negara mencatat jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi, demikian hasil tinjauan pendapat oleh Rakyat Malaysia Bersatu Untuk Keselamatan Jalan Raya (Mufors). Tinjauan pendapat yang dijalankan secara dalam talian itu menunjukkan bahawa daripada 1,500 responden, 36.6 peratus atau 549 responden merasakan sikap buruk dan pentingkan diri sendiri merupakan faktor utama kemalangan dan kematian di jalan raya.

"Turut menjadi faktor yang menyumbang kepada jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya yang tinggi ialah kesilapan manusia dan pemandu yang cuai (30 peratus)," kata Mufors dalam kenyataan di sini, Selasa.

Punca lain yang turut menyebabkan kemalangan ialah keadaan jalan (15 peratus), kurangnya penguatkuasaan (10 peratus), hukuman terhadap pesalah jalan raya tidak cukup berat (6.9 peratus) dan keputusan yang boleh dipersoal seperti diskaun untuk saman trafik (6.6 peratus). Statistik kerajaan menunjukkan secara purata 18 kematian sehari berlaku di jalan raya di negara ini.

Mufors adalah projek komuniti yang diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka mengenai keselamatan jalan raya di negara ini.

Inisiatif Mufors itu yang bermula 18 Ogos tahun lepas dibuat melalui laman web www.mufors.org.my, dengan dibantu oleh PLUS Expressways Berhad (Plus).

Pengerusi Mufors Noorizah Abdul Hamid yang juga Pengarah Urusan Plus berharap rakyat Malaysia melayari laman web itu dan mengambil bahagian dalam tinjauan pendapat itu serta menyuarakan kebimbangan mereka mengenai sikap pengguna jalan raya di negara ini.

Mufors turut melancarkan pertandingan filem pendek bertemakan "Attitudes of Roads - A Malaysian Journey" untuk penuntut Institusi Pengajian Tinggi, yang menawarkan hadiah menarik termasuk wang tunai RM10,000 bagi pemenang setiap kategori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain