suria

Hari Raya Momentum Baiki Hubungan Dua Hala Malaysia-Indonesia

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini merupakan satu momentum untuk rakyat Indonesia dan Malaysia memperbaiki hubungan dua hala di pelbagai peringkat, kata Duta Besar republik itu ke Malaysia Tan Sri Da'i Bachtiar.

Beliau berkata walaupun kedua-dua negara adalah berjiran, masalah tetap wujud.

Bagaimanapun, katanya cabaran ini adalah satu peluang untuk kedua-dua negara memperkukuh dan mengeratkan lagi hubungan yang sudah begitu lama terjalin di antara rakyat kedua-dua negara.

"Ini (sambutan Hari Raya) satu hari yang sangat baik untuk Indonesia dan Malaysia yang majoriti (penduduk) Muslim untuk saling memaafkan...satu momentum (yang perlu) digunakan untuk lebih memperbaiki hubungan antara dua hala...dua bangsa...dan dua negara," katanya kepada Bernama ketika ditanya pesanan beliau kepada warga Muslim sempena sambutan Aidilfitri.

"Kerana negara berjiran itu ada masalah...tetapi masalah itu adalah sebagai satu cabaran untuk sama-sama jadikan cabaran untuk lebih erat lagi," katanya di majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah Menteri di Seri Perdana di sini, Jumaat.

Sejak kebelakangan ini, hubungan Jakarta-Kuala Lumpur menghadapi cabaran berikutan tindakan beberapa pihak di republik itu yang membakar Jalur Gemilang serta melontar najis ke Kedutaan Malaysia di Jakarta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain