KUANTAN: Tiga maut dalam kemalangan berasingan di Pahang, semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pertama Mohd Rashid Ali, 34, maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Km23 Jalan Lipis-Benta.
Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi Isnin lepas semasa Mohd Rashid bersama tiga rakannya sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuala Lipis apabila kereta Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Mohd Rashid yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dibawa ke Hospital Lipis dan meninggal dunia pada pukul 7.29 pagi ini, manakala seorang rakannya mengalami kecederaan parah dan dua lagi hanya cedera ringan.
Sementara itu seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori ketika melalui jambatan Sungai Koman di Km356 Jalan Raub-Cheroh.
Mohd Zihan Mat Yeet, 77, sedang dalam perjalan ke Cheroh dari Kampung Sempan dekat Raub apabila motosikalnya bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama pada kira-kira pukul 9.25 pagi.
Mohamed Fauzi berkata Mohd Zihan dipercayai terjatuh sebelum digilis lori.
Dalam satu lagi kejadian pada pukul 6 petang, seorang pelajar, Azizul Abdullah, 17, maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar pasu besar yang terdapat di tepi jalan di KM28 Jalan Raub-Lembah Klau pada pukul 6 petang Selasa.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Kudin, Raub itu dipercayai memandu laju dan tidak memakai topi keledar. - BERNAMA


