suria

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

ALOR SETAR: Umno dan MCA Kedah, Khamis, tampil membantu empat keluarga yang rumah mereka musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala dekat sini, malam Rabu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Umno amat bersimpati dengan nasib empat keluarga itu yang tidak dapat menyambut Hari Raya esok kerana semua harta benda mereka dijilat api.

"Bagi meringankan beban mereka, Umno bersama MCA turun padang menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian mangsa kebakaran itu," kata Ahmad Bashah semasa ditemui pemberita di tempat kejadian.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam Rabu, empat buah rumah yang dihuni 14 orang musnah tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku. Kerugian dianggarkan berjumlah RM300,000.

Turut melawat mangsa kebakaran itu ialah Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Muhamad Guntur Tobeng Mansor Tobeng.

Ahmad Bashah berkata beliau akan meminta pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) membuat tinjauan dan untk memberi bantuan rumah bagi meringankan beban empat sekeluarga malang itu.

"Selepas Hari Raya, KEDA akan datang meninjau kawasan tapak rumah yang terbakar. Bantuan pembinaan rumah mungkin boleh diberi di bawah Program Bantuan Rumah (PBR)," katanya yang juga Pengerusi KEDA.

Seorang mangsa, Abd Ghani Ayub amat terharu dengan bantuan Umno dan MCA yang cepat bertindak turun padang untuk membantu mangsa kebakaran.

"Kami bersyukur dengan sumbangan yang diberikan. Wang yang diterima boleh digunakan untuk membeli pakaian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain