suria

12 Sekeluarga Bersyukur Terima Rumah Baru Menjelang Aidilfitri

TUMPAT: Kedatangan Aidilfitri kali ini disambut dengan kesyukuran tidak terhingga oleh sebuah keluarga di Kampung Kok Pasir dekat sini kerana dapat menyambut Hari Lebaran di rumah baru selepas 15 tahun menunggu.

Menyifatkan 1 Syawal kali ini sebagai membuka lembaran baru dalam hidup keluarganya, Mokhtar Abdul Latif, 42, berkata hadiah sebuah rumah dari Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu adalah rahmat yang amat disyukuri mereka sekeluarga.

"Bersyukur sangat dengan rumah baru ni. Raya tahun ini tidaklah kami perlu risau menadah besen dan kain untuk mengelap lantai kerana atap yang bocor ketika tetamu datang.

"Terima kasih pada kerajaan, jika tidak kami 12 beranak termasuk seorang ibu mertua yang sudah uzur terpaksa duduk berhimpit-himpit di rumah usang kami," katanya kepada pemberita selepas penyerahan rumah tersebut oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar.

Mokhtar sekeluarga sebelum ini mendiami sebuah rumah usang hampir roboh yang diwarisinya sejak tiga keturunan.

Peniaga ikan itu berkata dengan pendapatan bulanan sekitar RM700, dia tidak mampu membina rumah baru yang sempurna untuk keluarganya sekalipun memiliki tanah sendiri.

"Pendapatan yang diterima cukup untuk menanggung makan pakai dan sekolah anak-anak sahaja sebab itulah tidak mampu untuk membina rumah sendiri," kata bapa kepada sembilan anak yang berumur antara setahun dan 20 tahun itu.

Sementara itu, Noor Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat ketika ditemui berkata bagi kawasan Parlimen Tumpat, sebanyak 113 rumah PPRT telah dibina tahun ini, manakala 158 buah lagi dibaik pulih. "Mereka yang dapat rumah seperti ini adalah mereka yang tersenarai dalam program E-Kasih. Kita banyak membina rumah seperti ini dan sehingga kini masih ada lagi beberapa buah rumah dalam pembinaan," katanya.

Beliau berkata kos membina sebuah rumah terbabit adalah sekitar RM33,000, manakala kos baik pulih pula adalah RM11,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain