suria

JPV Saran Peniaga Daging Mohon Permit Awal

KUALA TERENGGANU: Peniaga daging lembu atau kerbau yang akan membawa masuk ternakan ke negeri ini untuk kegunaan musim perayaan ini disaran mendapatkan permit lebih awal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengarah JPV Terengganu Dr Azizol Mohd Sharun berkata proses kelulusan permohonan dapat dibuat dengan lebih cepat selain membolehkan pihaknya memantau pergerakan ternakan bagi mencegah penyakit berjangkit.

Beliau berkata permintaan bekalan daging lembu tempatan di negeri ini sepanjang Ramadan meningkat dari lima hingga 10 peratus kerana kadar penggunaannya yang tinggi berbanding bulan sebelumnya.

"Bagi memastikan masalah kekurangan bekalan daging lembu tidak berlaku, pembekal luar diberi peluang membawa masuk bekalan ke negeri ini," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Dr Azizol berkata bekalan daging ayam sepanjang bulan Ramadan di Terengganu juga menunjukkan peningkatan yang begitu mendadak iaitu kepada 35,000 ekor sehari berbanding 21,600 ekor sebelumnya.

Keadaan ini menunjukkan permintaan melebihi kadar pengeluaran dan bagi memastikan tidak berlaku pengurangan, JPV telah mendapatkan kerjasama daripada pembekal ayam di Pahang dan Johor Baharu, katanya.

Beliau berkata Terengganu memerlukan sekurang-kurangnya 45,000 ekor ayam sehari pada musim perayaan ini bagi memenuhi permintaan pengguna. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain