suria

Jakim Jalankan 22 Aktiviti Bersepadu Sepanjang Ramadan

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menjalankan 22 aktiviti bersepadu di bawah Program Ihya' Ramadan pada sepanjang bulan puasa ini yang dijangka bermula Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata program-program yang disusun dengan tema "Ramadan...Datangmu Dirindui Pergimu Ditangisi" ini, akan diadakan di seluruh negara.

"Ia dibentuk dengan pendekatan holistik sebagai membangunkan agenda agama khususnya untuk menyambut bulan Ramadan," katanya ketika melancarkan Program Ihya' Ramadan peringkat kebangsaan di sini, Jumaat.

Beliau berkata Program Ihya' itu juga dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi kementerian serta Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Yayasan Wakaf Malaysia dan Lembaga Tabung Haji.

"Ia juga bertujuan reformasi pembangunan insan rohaniah di bulan yang dikenali sebagai bulan penuh barakah, bulan pahala, bulan turunnya Al Quran, bulan Lailatul Qadar dan bulan ganjaran pahala tanpa batasan ini," katanya.

Antara program yang akan dijalankan di masjid utama negara adalah Seminar Penghayatan Ramadan dan Forum Ambang Ramadan, Tahlil Perdana, Majlis Iftar Perdana dan Kem Ibadah Saudara Kita Sempena Nuzul Al Quran.

Terdapat juga program seperti Agihan Makanan Kepada Golongan Fakir Miskin, Seminar Halal Toyyiba, Program Berbuka Puasa Bersama Pelancong, Majlis Khatam Al Quran Perdana dan Pelancaran Tabung Infaq Ramadan.

Solat Tarawih juga akan diadakan dengan diimamkan oleh imam jemputan dari Mesir seperti Syeikh Amro Abdo Sayed Ahmed dan Syeikh Mahmood Mohamed El Tantawi.

Beliau berharap orang ramai boleh merancang jadual ibadah mereka dengan mengikuti program-program yang disusun di mana ia akan diuar-uarkan di media cetak dan elektronik dari masa ke semasa.

Selain itu pelbagai program televisyen dan radio juga telah disusun sepanjang bulan tersebut di RTM menerusi saluran Klasik Nasional, Salam FM dan IKIM FM.

"Jangan kita biarkan Ramadan berlalu tanpa membuat apa-apa bentuk transformasi perubahan ke arah meningkatkan ketakwaan kepada Allah," pesan beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain