suria

Siasatan Kes Rasuah Dirahsiakan Elak Ganggu Perolehan Bukti

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung kes rasuah adalah rahsia bagi mengelakkan sebarang gangguan ketika perolehan bukti dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, siasatan bergantung kepada bukti maka ia dilindungi secara rahsia.

“Kita tidak mahu sebarang butiran mengenai kes rasuah didedahkan kepada umum demi menjaga kepentingan siasatan.

“Setiap kes rasuah perlu dirahsiakan bagi melindungi siasatan termasuk individu terbabit dalam penyiasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara SPRM dan Akademi Badan Pencegah Rasuah Antarabangsa (IACA) Hong Kong.

Majlis itu turut menyaksikan Akademi Badan Pencegah Rasuah Malaysia (MACA) memeterai perjanjian persefahaman dengan IACA Austria.

Abu Kassim berkata, orang ramai dinasihatkan supaya melaporkan terus kes rasuah kepada SPRM bagi mengelakkan proses penyiasatan terganggu.

Menurut beliau, pada masa ini banyak pihak berebut-rebut untuk membuat laporan berhubung kes rasuah menggunakan media terlebih dahulu.

“Tindakan seumpama itu hanya akan menjejaskan proses siasatan. Siasatan adalah rahsia dan kita perlu mengekalkan rahsia itu.

“Kerjasama ini amat penting bagi SPRM berdiri secara bebas bagi mengambil tindakan berasaskan undang-undang,” katanya.

Majis mendatangani perjanjian itu menunjukkan MACA telah diiktiraf sebagai hab Asia Pasifik dalam usaha mempromosikan teknologi kemahiran dan pengetahuan mengenai pencegahan rasuah.

Ia sejajar dengan objektif MACA untuk memperkukuhkan keyakinan dan kesedaran awam serta penerimaan antarabangsa terhadap kecekapan akademi itu dalam melatih pegawai-pegawai pencegahan rasuah berdasarkan prinsip telus dan profesional.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Shukri Abdul, Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Pengarah MACA, Datuk Samarajoo Manikam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya IACA Hong Kong, Daniel Li dan Presiden IACA Austria, Martin Kreutner.

Artikel Lain