suria

16 Lelaki Disambung Reman Berhubung Skim Cepat Kaya

KUALA LUMPUR: Seramai 16 daripada 50 lelaki yang ditahan berhubung penipuan skim cepat kaya, Rabu lepas disambung reman sehingga 2 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ACP Rohaimi Md Isa berkata 34 lelaki dan sembilan wanita yang turut ditahan telah dibebaskan selepas tempoh reman ke atas mereka berakhir hari ini.

"Seorang wanita berumur 23 tahun yang disyaki mendalangi skim cepat kaya itu masih diburu dan polis percaya dia masih berada di sekitar Lembah Klang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata siasatan polis mendapati skim itu tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan dan polis masih mengumpul maklumat mengenai skim berkenaan.

Dalam serbuan Rabu lepas di Sunway, polis menahan 59 individu yang mendakwa menjalankan perniagaan jualan langsung, namun tidak mempunyai pendaftaran syarikat dan bergerak bebas mencari mangsa termasuk kakitangan kerajaan.

Ketika serbuan polis merampas 18 kereta mewah antaranya BMW 5 Series, Nissan Fairlady dan Mitsubishi Evo Lancer yang mana kereta itu digunakan sebagai umpan untuk memperdayakan orang ramai. -BERNAMA

Artikel Lain