suria

Abdul Kudus Dan MPAJ Masih Berunding Penyelesaian Di Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Pengarah penguatkuasa yang dipecat Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih berbincang untuk menyelesaikan kes pemecatan beliau di luar mahkamah.

Peguam Abdul Kudus, M. Manoharan memberitahu pemberita satu daripada isu yang sedang dibincang ialah jumlah tuntutan ganti rugi yang dipohon anak guamnya.

Sekiranya semua pihak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian, mahkamah akan merekodkan penyelesaian tersebut pada 19 Ogos ini dan jika gagal, mahkamah akan mendengar perbicaraan kes itu pada hari berkenaan, katanya di sini.

Peguam MPAJ, Nuhairil Ahmad berkata kedua-dua pihak berharap dapat mencapai penyelesaian 'menang-menang'.

Peguam kedua-dua pihak bertemu Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari di dalam kamarnya hari ini bagi pengurusan kes.

Pada 7 Jun 2006, Abdul Kudus menfailkan saman terhadap pemecatan beliau oleh lembaga disiplin MPAJ pada 11 Jun 2003, dengan mengatakan bahawa ia tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Menurut Abdul Kudus, beliau dan MPAJ menyetujui perjanjian supaya beliau menjadi pegawai penguatkuasa selama tiga tahun mulai 15 Januari 2001, namun lembaga disiplin itu menamatkan perkhidmatannya berdasarkan kepada bukti dengar cakap, dan mendakwa bahawa seorang menteri menfitnah beliau menerusi akhbar tempatan.

Abdul Kudus yang mengatakan bahawa beliau tidak diberi peluang untuk membuat rayuan, meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa beliau masih seorang pegawai penguatkuasa dan berhak untuk mendapat gaji tertunggak serta faedah dan ganti rugi am.

MPAJ dalam pembelaannya berkata bahawa pemecatan itu dibuat mengikut undang-undang.

Pada 30 Jun lepas, Mahkamah Sesyen Ampang menjatuhkan hukuman selama 10 tahun dan 11 bulan serta denda RM370,000 ke atas Abdul Kudus, 47, selepas didapati bersalah di atas 24 pertuduhan rasuah berjumlah RM59,000.

Mahkamah Tinggi Shah Alam dijadual membuat keputusan terhadap rayuannya pada 27 Ogos ini.

Artikel Lain