suria

21 Kes Pelajar Mengandung Anak Luar Nikah Sejak 2006

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kes pelajar yang mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006 hingga sekarang telah dikesan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata 12 daripadanya berlaku di sekolah luar bandar dan sembilan di kawasan bandar.

"Siasatan yang dilakukan kementerian menunjukkan bahawa 20 kes adalah berdasarkan suka sama suka antara pasangan manakala satu kes melibatkan kes rogol," katanya.

Ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman di persidangan Dewan Negara di sini hari ini, beliau berkata kesemua kes berkenaan berlaku di dalam kawasan perumahan masing-masing.

Menurut beliau, maklumat tersebut diperolehi dari Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah-sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyrakat.

"Sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah sosial membabitkan pelajar sekolah, kementerian menerusi perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling telah menganjurkan program penerangan mengenai seksualiti, perhubungan antara lelaki dan perempuan serta adab dan tatacara bagaimana untuk bergaul dengan kawan-kawan," katanya.

Beliau berkata kebanyakan kes yang berlaku adalah kerana naluri kedewasaan yang ingin mencuba selain mendapat kebebasan keterlaluan daripada keluarga.

Selain usaha pihak sekolah, kementerian juga menasihati ibu bapa atau penjaga agar lebih bersikap prihatin dan mengambil tahu perhubungan anak-anak mereka dengan memantau perubahan tingkah laku harian mereka, katanya.

Katanya, kementerian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) telah merancang dan melaksanakan beberapa program untuk mendidik pelajar lelaki dan perempuan mengenai seks dan seterusnya mereka diminta berikrar secara bertulis agar mereka menjaga kehormatan diri sehingga ke malam pengantin (alam perkahwinan) setelah tamat program tersebut, katanya.

Mohd Puad berkata program itu akan dianjurkan ke sekolah-sekolah lain termasuk latihan khas untuk Guru Bimbingan dan Kauseling yang akan terbabit dalam program tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain