suria

872 Warga Asing Ditahan Dalam Tempoh Enam Bulan

KUALA LUMPUR: Seramai 872 warganegara asing yang terlibat dalam jenayah dadah ditahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan kes yang disiasat berjumlah 644 kes.

Angka ini menampakkan peningkatan ketara jika dilihat kepada jumlah tangkapan keseluruhan tahun lepas iaitu seramai 1,016 orang dengan kes yang disiasat 839 kes.

Rakyat Thailand adalah yang paling ramai ditahan iaitu 265 orang, diikuti Myanmar (227), Indonesia (129), Iran (75), Singapura (43), China (33), Vietnam (21), Nigeria (20), India (12), Filipina (11), Bangladesh (8).

Manakala warga Nepal dan Botswana masing-masing empat orang dan warga Sudan, Uzbekistan, Kemboja serta Pakistan masing-masing dua orang.

Turut ditahan warga Afganistan, Arab Saudi, Liberia, Hong Kong, Congo, Australia, Guinea, Mesir, Yemen, Gambia dan Du Mali, masing-masing merekodkan seorang yang ditahan.

Statistik dari Ibupejabat Polis Bukit Aman itu menunjukkan bahawa tangkapan tertinggi melibatkan lelaki seramai 705 orang dan 167 orang melibatkan wanita, manakala enam daripada mereka ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) yang melibatkan empat rakyat Iran, dan masing-masing seorang rakyat Indonesia serta Singapura.

Untuk rekod, sepanjang tahun lepas 14 rakyat asing ditahan di bawah LLPK atas kesalahan dadah yang menunjukkan pengurangan berbanding 20 orang yang ditahan pada tahun 2008.

Daripada jumlah 644 kes yang disiasat enam bulan pertama tahun ini, 174 daripadanya disiasat di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

"Jumlah kes yang disiasat di bawah Seksyen 39B dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding kes sama yang dilaporkan tahun lepas," kata Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Othman Harun kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya dari Januari hingga Jun lepas, 174 kes disiasat di bawah Seksyen 39B berbanding 172 kes yang disiasat di bawah seksyen yang sama sepanjang tahun lepas.

Othman berkata jumlah kes yang didakwa di bawah Seksyen 39B itu didapati meningkat ekoran penahanan warga Iran yang terlibat dalam penyeludupan dadah yang semakin meningkat sejak awal tahun ini.

Daripada jumlah itu, 48 kes melibatkan warga Iran, yang merupakan jumlah tertinggi setakat ini diikuti kes melibatkan warga Myanmar 43 kes, Indonesia 22 kes, Thailand 21 kes dan India 9 kes.

Beliau berkata jumlah tangkapan warga Iran meningkat mendadak berbanding tahun lepas yang hanya mencatatkan penahanan 20 orang berbanding 75 orang tahun ini.

"Apa yang menjadi kebimbangan kini ialah apabila warga Iran ini dilihat semakin ghairah mencari keuntungan. Mereka bukan sahaja membawa syabu yang siap diproses tetapi turut membawa syabu yang belum siap untuk diproses di sini," katanya.

Oleh kerana Malaysia bukan negara pengeluar dadah, ia menyebabkan penjenayah mengambil peluang mengaut keuntungan dengan cuba memenuhi permintaan pasaran di sini.

"Negara yang ada bekalan ini membawa masuk dadah ke Malaysia disebabkan permintaan yang tinggi dan peluang ini diambil untuk menjalankan kegiatan mereka bagi mendapatkan keuntungan," katanya.

Beliau berkata kawalan yang semakin ditingkatkan di lapangan terbang yang menjadi laluan utama kemasukan dadah menyebabkan mereka kini menukar modus operandi dengan menaiki penerbangan ke negara jiran dan kemudiannya masuk ke Malaysia melalui jalan darat.

"Kami dapati ada perubahan dalam modus operandi mereka dan kami sedang memantau secara dekat dengan kerjasama dan pertukaran maklumat risikan dengan negara luar," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain