suria

Pelajar UM Maut Selepas Terjatuh Dari Tingkat Lima

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Malaya maut selepas terjatuh dari tingkat lima kolej kediaman universiti itu di sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata mangsa, Zulkhairi Azmi Mohd Bukhari, 19, pelajar tahun pertama Pusat Asasi Sains, terjatuh dari balkoni di bilik rakannya kira-kira pukul 3 petang Jumaat.

Katanya mangsa dipercayai tergelincir dan jatuh ketika cuba memasuki bilik rakannya untuk mengambil barang melalui bilik jirannya itu.

"Kita difahamkan semalam, mangsa tidur di bilik rakannya di tingkat lima kolej itu. Pagi ini dia balik ke biliknya di tingkat tiga. Kira-kira pukul 2.30 petang, dia kembali ke bilik rakannya untuk mengambil barang yang tertinggal.

"Bagaimanapun, kawannya tiada dalam bilik dan mangsa kemudian ke bilik jiran sebelah bilik kawan dia itu melalui balkoni tapi tergelincir dan jatuh," katanya ketika dihubungi.

Wan Abdul Bari berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaaan di bahagian kepala.

Katanya, polis percaya tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) di sini untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Lain