suria

Pengarah JPAM Kedah Dipenjara Dan Didenda Kerana Rasuah

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini Khamis menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM11,200 atau enam bulan penjara terhadap Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri Kedah Mohamad Abdullah selepas didapati bersalah atas dua tuduhan rasuah memperakukan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

Bagi tuduhan pertama, Mohamad, 49, didakwa memberi satu dokumen bertarikh 16 Feb 2005 yang mengandungi butiran palsu kepada seorang pembantu tadbir JPAM negeri.

Dalam dokumen itu, dia didakwa memperakukan bahawa pembekal makanan, Mohd Roshid Hussain, 32, telah menyediakan 70 tempahan makanan untuk peserta Latihan Pertahanan Awam Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM2,240 pada 17 hingga 20 Mac 2005.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau empat bulan penjara kerana mengulangi perbuatan sama dengan memperakukan bahawa Mohd Roshid telah menyediakan 80 tempahan makanan untuk peserta Latihan Asas Intensif Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM1,920 pada 19 hingga 21 Mei 2005.

Sebenarnya tertuduh mengetahui tiada bekalan sedemikian dibuat dan ia dilakukan hanya untuk mengelirukan.

Di mahkamah yang sama, Mohd Roshid yang menghadapi dua pertuduhan bersubahat dengan Mohamad dikenakan dua tahun penjara dan denda RM11,200 atau enam bulan penjara bagi tuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua dia dipenjara 18 bulan, denda RM10,000 atau empat bulan penjara.

Semua kesalahan itu dilakukan di pejabat JPAM negeri, Tingkat 6, Wisma Persekutuan, di sini pada 26 Jun dan 28 Julai 2005. Hakim Nor Sharidah Awang memerintahkan Mohamad dan Mohd Roshid menjalani hukuman itu bermula dari tarikh hukuman dan hukuman itu berjalan serentak.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Janariah Abdul Mutalib.

Sementara itu dalam kes berasingan, juga di mahkamah sama seorang juruteknik servis komputer mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah.

Abdul Halim Che Ismail, 35, dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara Disember 1998 hingga Julai 2001 di Silvercoin Enterprise, No. 15, Taman Enggang, Alor Malai, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Malaysia Jasmina Mohd Mokhtar meminta mahkamah mengenakan ikat jamin maksimum sebanyak RM500,000 atas alasan tertuduh tidak dapat dikesan sejak waran tangkap dikeluarkan pada 18 November 2009. Tertuduh hanya dapat dikesan semalam.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Abdul Halim diikat jamin RM150,000 dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport serta perlu melapor diri di balai polis Kuala Kangsar, Perak sebulan sekali. Kes itu akan disebut semula 28 Sept ini. Tertuduh diwakili peguam G. Ravi Shankar. - BERNAMA

Artikel Lain