suria

Penganggur Didakwa Cedera Isteri, Pegawai Polis

AMPANG: Seorang penganggur dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya dan mencederakan seorang pegawai polis.

Sheikh Mohd Zaid Sheikh Said, 39, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan kesalahan itu dengan cara membaling kerusi kayu berwarna hitam kepada Marina Hashim, 33, pada pukul 7 pagi, 21 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Nirwana 36, Taman Nirwana di sini.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja terhadap Asisten Superintendan Saheela Abu Bakar di tempat yang sama pada pukul 5.40 petang, 26 Disember 2009.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara menendang paha dan kaki kanan Saheela. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazatul Shima Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Adenan Ismail.

Majistret Azaraorni Abdul Rahman membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel Lain