suria

Kenderaan Berat Dilarang Masuk Tiga Laluan Di Lembah Klang Ketika Waktu Pagi

PETALING JAYA: Kenderaan berat akan dilarang menggunakan tiga laluan di sekitar Lembah Klang ketika waktu puncak pada sebelah pagi bermula 2 Ogos ini.

Ketua Trafik Persekutuan Datuk Abdul Aziz Yusof berkata laluan berkenaan ialah Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) antara Shah Alam dan Jalan Duta, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara Sungai Buloh dan Bukit Lanjan, serta Lebuhraya Persekutuan 2 antara Subang dan Sungai Rasau.

"Larangan ini bertujuan mengurangkan kesesakan trafik di laluan terbabit dan mereka yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1970 iaitu denda RM1,000 dan tiga bulan penjara," katanya pada sidang media, di sini, Isnin.

Seperti larangan sedia ada terhadap kenderaan berat memasuki ibu kota ketika waktu puncak di sebelah pagi, ianya melibatkan kenderaan berat Kelas 2 dan Kelas 3, iaitu kenderaan dengan muatan 10,000kg ke atas dan kenderaan tanpa muatan 10,000kg ke atas.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Nik Airina Nik Jaffar berkata larangan itu berkuatkuasa dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi kecuali pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Beliau berkata kira-kira 450,000 kenderaan menggunakan tiga laluan itu setiap hari dan pergerakan kenderaan berat yang perlahan adalah satu daripada penyumbang utama kesesakan trafik.

"Situasi bertambah buruk apabila ada kenderaan berat tersadai di lebuh raya kerana rosak atau kemalangan. Menerusi larangan ini kita jangka kesesakan trafik pada sebelah pagi dapat dikurangkan," katanya.

Katanya, langkah serupa telah dilaksana di Jambatan Pulau Pinang sejak dua tahun lepas dan berjaya mengurangkan kesesakan.

Nik Airina berkata PLUS juga telah berbincang dengan persatuan pengusaha lori yang memberikan maklum balas positif berhubung larangan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain