suria

Penuntut Kolej Lemas Di Lubuk Simpon Jerantut Belum Ditemui

KUANTAN: Seorang pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas, Kelantan dipercayai lemas selepas dibawa arus sungai di Lubuk Simpon, Jerantut di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut Deputi Supritendan Zakaria Kassim berkata mangsa, Alif Asyraf Hashim, 22, penuntut tahun akhir bersama 38 pelajar dan tujuh pensyarah KKTM berada di Lubuk berkenaan untuk mengkaji struktur batuan.

"Dalam kejadian pada pukul 4.10 petang itu, Alif Asyraf bersama beberapa rakan lain berada di pertengahan batuan di Lubuk itu sebelum dia tergelicir dan dibawa arus sungai deras secara tiba-tiba.

"Mangsa cuba dibantu oleh rakan-rakannya namun gagal dan mereka meminta bantuan daripada Perhilitan dengan menggunakan bot tetapi gagal menemui mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata 10 penyelam dari pasukan Marin dan Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat sehingga pukul 9 malam ini namun gagal menemui mangsa.

Operasi akan disambung semula awal pagi esok bermula pukul 8 pagi, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain