suria

75 Ditahan Dalam Operasi Di Spa Dan Pusat Urut

JOHOR BAHARU: Polis menahan 75 individu dalam operasi mencegah jenayah di 194 premis yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan Iskandar Malaysia pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata 1,140 individu diperiksa di spa, pusat urut dan juga hotel dalam operasi berkenaan.

"Daripada 75 orang tersebut, enam ditahan kerana mencari langganan pelacur, 10 tidak mempunyai permit kerja, 13 orang kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit dan 46 lagi berkaitan jenayah syariah agama Islam," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Operasi berkenaan melibatkan 89 pegawai dan 314 aggota polis yang akan diteruskan bagi memastikan kegiatan pelacuran di kawasan Iskandar Malaysia dapat dibanteras, kata Mohd Mokhtar.

Sementara itu beliau berkata pihaknya turut menahan 22 pengguna jalan raya dari hasil pemeriksaan terhadap 4,195 orang, juga di sekitar Iskandar Malaysia pada Jumaat dan Sabtu lepas.

"Daripada 22 orang ini, 12 daripadanya didapati positif dadah, lapan merupakan pendatang asing tanpa izin dan dua lagi bersabit lain-lain kesalahan.

"Pasukan trafik juga memeriksa 3,836 kenderaan dan mengeluarkan 1,643 saman selain menyita 583 motosikal serta 32 kereta," katanya mengenai operasi itu yang menumpukan kepada penunggang motosikal yang mungkin terbabit dalam jenayah ragut.

Mohd Mokhtar berkata polis turut mengedarkan gambar 12 suspek yang menjadi buruan polis berhubung kes ah long, pelacuran, samseng, kongsi gelap dan perjudian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain