suria

18 Universiti Terima Penarafan Cemerlang

PUTRAJAYA: Tujuh institusi pengajian tinggi awam dan 11 dari swasta menerima pengiktirafan cemerlang menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) 2009.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkan perkara itu berkata, IPT awam yang menerima pengiktirafan itu ialah Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknolog Mara.

IPT swasta yang terpilih pula ialah Universiti Multimedia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Petronas, Sunway Universiti Kolej, Curtin Universiti Teknologi Kampus Sarawak, Monash Universiti Kampus Sunway, Taylor's Universiti Kolej, International Medical University, Swinburne Universiti Teknologi Kampus Sarawak, Universiti Nottingham Kampus Malaysia serta Management and Science Universiti.

Sebanyak 25 universiti dan kolej universiti iaitu 14 swasta dan 11 awam pula menduduki tahap sangat baik manakala empat kolej universiti swasta pula menduduki tahap baik, katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

"Bagaimanapun kali ini tiada universiti dan kolej universiti yang mencapai tahap terbilang," kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata, hasil penarafan SETARA itu akan digunakan sebagai input oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam menetapkan dasar-dasar pendidikan tinggi yang bersesuaian.

Mohamed Khaled berkata, IPT awam dan swasta yang mencapai tahap cemerlang boleh menerima tajaan kerajaan pelajar dalam dan luar negara, selain boleh memohon dan menerima jumlah geran penyelidikan yang disediakan oleh kerajaan dan layak untuk mendapatkan status universiti penyelidikan serta menambah bilangan program pelajar pra dan pasca siswazah.

Kelebihan lain bagi IPT swasta ialah diberi kelonggaran dan pengecualian dalam beberapa perkara antaranya daripada memohon permit mengajar dan dikecualikan daripada mendapat kelulusan daripada kementerian dalam menetapkan gaji pensyarah antarabangsa. "Kadar yuran pengajian dikecualikan daripada mendapat kelulusan daripada kementerian dan diberi kelulusan mengambil pelajar antarabangsa secara automatik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain