suria

Abdullah Mahu Parti Komponen BN Kurangkan Politik Dalaman

KEPALA BATAS: Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) hendaklah mengurangkan politik dalaman yang keterlaluan dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya politik dalaman itu menyebabkan anggota BN lupa agenda sebenar iaitu membantu rakyat dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta kebajikan sudah diatur.

Abdullah berkata beliau bimbang terhadap politik dalaman keterlaluan ketika ini berikutan khabar angin mengatakan pilihan raya umum ke-13 akan dibuat dalam masa terdekat.

"Macam-macam berita yang membawa kepada pertelagahan dalam parti sendiri ketika ini berikutan ada khabar angin mengatakan pilihan raya umum akan dibuat dalam tempoh terdekat dan ia tidak memberi kebaikan kepada kita sebenarnya.

"Ini semua menyebabkan orang (anggota parti) mula lupa tentang kehendak pembangunan yang diperlukan rakyat dan segala yang diatur oleh pemimpin tertinggi negara tidak menjadi kenyataan," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Abdullah, yang juga Ketua Bahagian Umno Kepala Batas, berkata ketika ini sudah wujud pertelingkahan antara satu kumpulan dengan kumpulan lain dalam parti serta ada yang sudah mencari siapa calon bakal ditampilkan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Bila ini berlaku maka keperluan pembangunan terhadap rakyat kurang diberikan dan ini yang tidak mahu kita lihat hanya kerana kita sibuk sangat berpolitik sehingga lupa tugas asal," katanya.

Katanya semua anggota komponen BN seharusnya mengambil langkah proaktif bagi memenangi hati pengundi pada masa kini yang dilihat lebih bijak dan mempunyai banyak permintaan.

"Mereka (pengundi muda) lebih kritis dan ini semua harus ditangani secara baik bagi memastikan mereka memberi sokongan kepada BN yang berjaya membangunkan negara sejak merdeka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain