suria

Hotel Bajet Gagal Ikut Peraturan Bomban Akan Disaman

KOTA BAHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan akan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa di mahkamah terhadap pengusaha hotel bajet yang gagal mematuhi peraturan keselamatan kebakaran yang ditetapkan.

Pengarahnya Mohd Azmi Othman berkata penerangan mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha telah dibuat dan jabatan kini menunggu tindakan lanjut pengusaha memperbetulkan kesalahan itu.

"Saya harap pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang sebelum menjalankan perniagaan hotel bajet," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di sini, pada Selasa.

Seramai 64 orang menerima pingat dan sijil khidmat cemerlang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Hamzah Abu Bakar dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan jabatan itu di sini.

Mohd Azmi berkata pengusaha hotel tidak boleh memandang ringan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan tindakan tegas akan diambil selepas tempoh tiga bulan notis dikeluarkan.

Beliau berkata antaranya laluan kedua, pintu rintangan api, alat pemadam api dan jenis pintu yang ditetapkan menggantikan pintu biasa yang digunakan oleh pengusaha terbabit menjalankan perniagaan.

"Ada pintu dibina dengan plywood yang memang tidak boleh diguna dan mudah terbakar," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain