suria

35,000 Penumpang Guna Perkhidmatan Koc Wanita Setiap Hari

KUALA LUMPUR: Sebanyak 35,000 penumpang menggunakan koc komuter untuk wanita setiap hari sejak perkhidmatan itu diperkenalkan April lepas, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata berdasarkan sambutan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memanjangkan perkhidmatan koc itu ke laluan Sentul-Batu Caves mulai pertengahan bulan depan.

KTMB bagaimanapun belum bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan gerabak wanita ke sektor lain, katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaafar (PAS-Tumpat) yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang memperkenalkan gerabak wanita bagi seluruh perkhidmatan keretapi.

Beliau berkata kementerian mempertimbangkan penggunaan koc itu atas dasar ingin mengurangkan risiko menjadi mangsa gangguan seksual dan penyeluk saku khususnya terhadap golongan wanita.

"Ia juga dibuat bagi menjamim keselamatan wanita sepanjang perjalanan," katanya.

Abdul Rahim berkata kajian yang dibuat KTM Komuter mendapati hampir keseluruhan wanita memahami tujuan dan menyokong pelaksanaan koc itu.

Menjawab soalan Kamarudin mengenai kedudukan terkini tender pembelian Tren Elektrik Pelbagai Guna (EMU), Abdul Rahim berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM1.9 bilion bagi membeli 38 set unit EMU enam gerabak daripada sebuah konsortium dari negara China dan ia dijangka diterima September tahun hadapan.

Beliau berkata spesifikasi untuk pembelian itu memenuhi standard antarabangsa dengan konsortium pengeluar yang dipilih juga mempunyai reputasi baik dan harga yang ditawar berpatutan.

"Bagi memenuhi segera keperluan tren, kementerian juga menggunakan kaedah pembekalan yang dibuat secara 'fast delivery' yang hanya akan mengambil masa 24 bulan berbanding bekalan biasa yang memerlukan antara 24 hingga 36 bulan yang diamalkan sebelum ini," katanya.

KTMB kini mempunyai 58 unit EMU dengan antara 22 hingga 26 unit beroperasi manakala selebihnya sedang diselenggara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain