suria

Ahli Umno Cecah 3 Juta, Sabah Tertinggi...

SEMPORNA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu kini mempunyai 3,159,484 anggota di seluruh negara dan Sabah mencatatkan keanggotaan tertinggi dengan 449,805 orang.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, senarai baru itu telah pun melalui proses pembersihan baru-baru ini.

Katanya lagi, selepas Sabah, Johor berada di tempat kedua dengan 428,663 anggota, diikuti Selangor (414,142).

"Selepas proses pembersihan baru-baru ini, kita telah mengeluarkan daripada senarai hampir 300,000 orang termasuk yang telah meninggal dunia dan tidak dapat dikesan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Semporna, di sini hari ini.

Beliau berkata, Umno sedang menjejaki anggota yang gagal dikesan bagi mendaftarkan semula mereka dan usaha itu harus dibantu oleh cawangan-cawangan dan bahagian di seluruh negara.

Umno juga menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat yang berminat menyertai parti itu dan pada bulan ini sahaja hampir 2,000 orang didaftarkan sama ada menerusi talian atau cawangan, katanya lagi. Menurut beliau, keanggotaan tertinggi adalah menerusi sayap Pemuda.

Terdahulu semasa berucap Mohd Shafie meminta anggota Umno di bahagian itu agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bukan sahaja melaksanakan transformasi dalam kerajaan tetapi juga dalam parti.

Beliau berkata, kepimpinan Umno pada masa kini lebih bersikap terbuka dalam mendengar pandangan dan teguran sama ada daripada anggotanya atau golongan lain demi perpaduan dan keutuhan parti.

Artikel Lain