suria

Kementerian Sasar Turunkan Kadar Banduan Berulang Kali Masuk Penjara - Hishammuddin

ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri akan memantapkan lagi inisiatif Keberkesanan Program Pemulihan Jabatan Penjara bagi memastikan jumlah banduan berulang kali masuk ke penjara dapat diturunkan.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jumlah banduan berulang kali masuk penjara kini pada tahap 16.8 peratus setahun daripada jumlah banduan di seluruh negara.

Beliau berkata pada tahap 16.8 peratus jumlah residivis atau banduan yang berulang kali masuk ke penjara ketika ini, Jabatan Penjara telah mencapai sasaran dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu tidak melebihi 17 peratus daripada jumlah kemasukan banduan setahun.

"Kadar 16.8 peratus ini adalah baik. Bagaimanapun, faktor kesesakan, beban kewangan dan impak keselamatan, kadar ini wajar diturunkan lagi. Inilah yang ingin dicapai oleh Kementerian Dalam Negeri dalam beberapa tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Penjara Pokok Sena dekat sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah. Penjara yang boleh menempatkan 1,800 banduan lelaki dan 200 banduan wanita itu dibina pada 1 Ogos 1999 dan siap pada 30 Mei 2003 dengan kos hampir RM170 juta.

Hishammuddin berkata sasaran Jabatan Penjara adalah untuk memastikan banduan yang dibebaskan telah benar-benar insaf, pulih, berkemahiran, dapat berdikari dan tidak kembali melakukan kesalahan.

Katanya pertambahan bilangan kes yang disabitkan menyebabkan kesesakan dalam penjara-penjara dan memberi kesan kepada keberkesanan program pemulihan yang menyebabkan banduan sering terperangkap dalam 'vicious circle' dan kembali melakukan jenayah dan menghuni semula tempat-tempat ini.

"Keadaan ini membawa kesan dan beban besar terhadap perbelanjaan negara bukan sahaja daripada segi infrastktur tambahan dan pegawai penjara, tetapi melibatkan makanan dan juga soal penjagaan kesihatan penghuni penjara.

"Di Malaysia daripada 31 buah penjara, sembilan dikenal pasti sebagai penjara yang sesak. Kos utiliti penghuni penjara secara purata adalah pada kadar RM35 seorang dan kos tanggungan makanan adalah kira-kira RM55.5 juta setahun," katanya.

Hishammuddin berkata di bawah NKRA khususnya dalam konteks mengurangkan kadar jenayah, Jabatan Penjara dikehendaki melaksanakan penilaian semula dan juga penambahbaikan program pemulihan di penjara.

"Dua inisiatif yang sedang dilaksanakan adalah pengasingan berdasarkan umur banduan dan pengkategorian semula penjara. Bagi pengasingan, beberapa strategi pelaksanaan telah diambil melalui pengasingan banduan kali pertama dengan banduan berulang kali. Pengasingan mengambil kira umur banduan yang dipecahkan mengikut umur iaitu bawah 21 tahuh, 21 hingga 50 tahun dan 50 tahun ke atas.

"Bagi kategori, institusi penjara dibahagikan kepada enam zon utama iaitu Zon Tengah, Zon Timur, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak di mana penjara dalam zon-zon itu dikategorikan mengikut penempatan banduan. Melalui kedua-dua inisiatif, diharapkan sistem tahanan dan pemulihan di penjara dapat diperbaiki dan seterusnya menghalang perlakuan jenayah berulang," kata Hishammuddin.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara Datuk Zulkifli Omar berkata pada masa ini terdapat 40 institusi penjara di seluruh negara melibatkan 31 penjara, lima pusat pemulihan akhlak, tiga Sekolah Henry Gurney dan sebuah Tempat Tahanan Perlindungan.

"Institusi berkenaan secara keseluruhannya menampung penghuni berjumlah sekitar 38,000 orang yang terdiri daripada pelbagai kategori kesalahan dan latar belakang sosio-ekonomi.

"Pelbagai pendekatan telah dirangka bagi tujuan pemulihan antaranya ialah Program Pembangunan Insan yang dijadikan asas bagi memulihkan penghuni tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain