suria

Kematian Pemilik Kelab Dipercayai Didalangi Individu Dikenali

KUALA LUMPUR: Pembunuhan pemilik kelab malam dan teman wanitanya, yang ditembak mati dari jarak dekat di sebuah kondominium di Cheras, awal pagi Jumaat lepas dipercayai didalangi individu yang dikenali mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata ini kerana pembunuhan itu seolah-olah telah dirancang oleh suspek.

"Daripada siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tamat Latihan Konstabel Sukarelawan Polis di Balai Polis Alam Damai di sini hari ini.

Jumaat lepas, pemilik kelab malam yang dikenali sebagai K.C Wong, 52, serta teman wanitanya, 32 tahun, ditembak dengan pistol jenis automatik di tempat letak kereta kondominium mereka di Taman Maluri, Cheras, kira-kira pukul 3.30 pagi.

Berdasarkan cara tembakan di kepala, polis percaya tembakan itu dilepaskan dari jarak dekat dan polis turut menemui sebanyak 13 kelongsong peluru di tempat kejadian.

Abdul Rahim berkata sehingga kini polis telah mengambil keterangan beberapa orang saksi termasuk pengawal keselamatan kondominium itu dan keluarga terdekat kedua-dua mangsa bagi membantu siasatan.

"Identiti suspek masih belum dikenalpasti bagaimanapun kita sedang berusaha mengumpulkan maklumat termasuk meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) yang terdapat di pekarangan kondominium berkenaan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata perkhidmatan polis sukarelawan yang terdiri daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah membantu polis dalam mengawal keselamatan dan mencegah jenayah di Cheras.

"Dalam tempoh 1 Jan sehingga 10 Jun tahun ini, kita telah mencatatkan penurunan 35 peratus indeks jenayah berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu pengurangan sebanyak 1,587 kes," katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu seramai 53 anggota polis sukarelawan yang terdiri daripada 44 anggota Rela dan sembilan daripada JPAM menerima sijil penghargaan masing-masing selepas berjaya menamatkan latihan selama sebulan, bermula 10 Mei hingga 12 Jun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain