suria

Bekas Eksekutif Jualan Astro dituduh Menipu

SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif jualan syarikat televisyen berbayar, Astro hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menipu majikannya di antara November 2002 hingga Jun 2003. Chee Weng Hoong, 40, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Norkamilah Aziz terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta dikenakan denda.

Chee dari Desa Petaling Kuala Lumpur dituduh melakukan kesalahan itu semasa waktu pejabat di Selangor Medical Centre di Seksyen 20 di sini ketika membekalkan dan memasang lima unit alat untuk menerima penyiaran Astro di premis komersial itu.

Tertuduh didakwa menipu Astro All Asia Networks Plc dengan mendaftarkan alat-alat penerima itu di atas nama Tang Woon Sing bernombor kad pengenalan 670829-08-5221, sedangkan penama tidak wujud dan tidak mendaftarkannya atas akaun komersial.

Majistret membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes ini pada 30 Jun tahun ini.

Tertuduh diwakili oleh J. Kuldeep Kumar sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain