suria

Bantuan Berterusan Malaysia Kepada Gaza Untuk Tarik Perhatian Dunia

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bantuan berterusan Malaysia kepada Gaza bertujuan menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan penduduk Palestin selain faktor kemanusiaan. Mantan Perdana Menteri itu berkata, komitmen tersebut juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia lebih prihatin berbanding negara-negara besar lain yang hanya bercakap mengenai kemanusiaan tetapi tidak melakukan apa yang dikatakan.

"Kita menggesa komuniti antarbangsa melihat kepada tindak-tanduk Israel. Luar daripada itu kita tiada pilihan lain kerana kita tidak boleh meminta mana-mana kuasa yang ada untuk membantu kita.

"Negara-negara kuasa besar tidak berminat melihat kerja-kerja kemanusiaan dijalankan di Gaza," katanya pada sidang media penghantaran bantuan kemanusiaan oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO) di bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun Malaysia telah menghulurkan pelbagai bantuan kepada Gaza sebelum ini tetapi belum mencukupi kerana kemusnahan yang berlaku akibat bedilan roket dan penggunaan jentolak Israel telah memusnahkan kemudahan dan kediaman penduduk di sana.

"Kerana inilah kami mengambil keputusan membantu Gaza secara aktif. Kita tidak setakat membantu penduduk Islam tetapi ini adalah khidmat kemanusiaan dan tidak ada kepentingan politik," katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PGPO berkata, sehubungan itu PGPO bersetuju menghantar barangan keperluan pembinaan rumah serta perubatan yang akan dibuat melalui kapal "Rachel Corrie" milik badan itu yang bakal digunakan sebagai pengangkutan rasmi.

Beliau berkata, semua kelengkapan serta pembelian kapal tersebut yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta adalah hasil daripada sumbangan Tabung Dana Kemanusiaan Palestin yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, untuk memastikan penghantaran dan perjalanan kapal tersebut berjalan lancar dua orang wakil PGPO telah berada di negara Ireland sebelum kapal itu memulakan perjalanan ke Cyprus esok.

"Dua wakil PGPO Matthias Chang dan Shamsul Akmar telah berada di Ireland bagi pastikan semua urusan berjalan lancar. Mereka juga akan disertai oleh tujuh buah kapal lain bersama 600 sukarelawan berlepas ke Cyprus dan dijangka tiba di Gaza 27 Mei ini," katanya.

Mereka juga akan disertai oleh seorang anggota parlimen serta dua wakil media, kata beliau.

Ditanya berapa banyak rumah yang boleh dibina hasil daripada kelengkapan yang dibawa, Dr Mahathir berkata beliau tidak pasti mengenai jumlah sebaliknya lebih mementingkan kepada pembinaan rumah yang sempurna memandangkan cuaca di Gaza adalah terlalu sejuk.

Katanya, sepatutnya penghantaran itu dibuat lebih awal kerana penduduk Palestin terlalu memerlukannya tetapi terpaksa menunggu hingga PGPO memiliki sebuah kapal yang sesuai untuk penghantaran tersebut.

Mengenai tahap keselamatan kapal serta sukarelawan yang mengambil bahagian Dr Mahathir berkata, semua rakyat perlu mendoakan keselamatan mereka kerana mereka tidak boleh diiringi oleh anggota keselamatan.

Sebelum ini, Malaysia menerusi PGPO yang disertai empat anggota krew Bernama TV dan seorang wakil Yayasan Al-Bukhary telah menyertai 450 anggota konvoi Viva Palestina menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Konvoi bantuan kemanusiaan yang sarat dengan bantuan kemanusiaan itu memulakan perjalanan dari London pada 6 Dis, tahun lepas, merentas sempadan Rafah untuk ke Gaza, tiba pada 7 Januari.

Rakyat Palestin berada dalam kesukaran apabila rejim Tel Aviv mengepung Semenanjung Gaza selepas rejim Hamas mengambil alih kawalan di wilayah itu pada Jun 2007. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain