suria

Skandal PKFZ: Perbicaraan Kes Tiga Individu Bermula 30 September

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menetapkan 30 September depan sebagai tarikh perbicaraan tiga individu yang didakwa membuat tuntutan palsu membabitkan jumlah berjuta-juta Ringgit dalam projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Asmadi Hussain menetapkan 13 hari antara 30 September dan 3 Disember sebagai tarikh perbicaraan.

Tiga tertuduh dalam kes itu ialah Law Jenn Dong, 51, bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) iaitu syarikat kontraktor pembinaan PKFZ, Steven Abok, 51, Ketua Pegawai Operasi KDSB, dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 48, dari BTA Architect yang merupakan perunding PKFZ.

Abok dan Tan menghadapi dua tuduhan menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.

Tan dan Law menghadapi 24 pertuduhan menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB membabitkan dua projek di PKFZ, antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Law diwakili peguam Tan Hock Chuan manakala Tan diwakili peguam Datuk V.Sithambaram.

Sementara itu, peguam yang baru dilantik mewakili Abok, Hisyam Teh Poh Teik, memohon kepada mahkamah satu tarikh sebutan bagi pihaknya mendapatkan dokumen mengenai kes itu daripada pihak pendakwaan.

Asmadi kemudian menetapkan tarikh 15 Julai depan untuk sebutan bagi Abok yang sebelum ini diwakili peguam Edmund Bon.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin. - BERNAMA

Artikel Lain