suria

Polis Nafi Terdapat Pelajar IPTA Di Terengganu Terlibat Aktiviti Pelacuran

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu hari ini menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyatakan terdapat segelintir pelajar di institusi pengajian tinggi awam di negeri ini terlibat dalam aktiviti pelacuran dan penjualan alatan seks.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, siasatan yang dilakukan sejurus laporan itu tersiarkan pada Sabtu lepas, mendapati ia tidak benar dan hanya berasaskan khabar angin yang didengari oleh seorang bekas pelajar lelaki yang mendedahkan tentang isu itu.

"Siasatan yang dijalankan ke atas maklumat yang diterima dari bekas pelajar yang berumur 23 tahun itu mendapati dia tidak mempunyai pengetahuan sendiri di atas maklumat berkenaan dan hanya berasaskan maklumat yang diperoleh daripada individu lain.

"Khabar angin yang ditimbulkan oleh bekas pelajar itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dan pandangan negatif terutamanya di kaca mata masyarakat sehingga meresahkan pihak IPTA, pelajar serta ibu bapa," katanya dalam persidangan media di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini tidak ada sebarang laporan yang telah dibuat oleh mana-mana pelajar kepada pihak IPTA, mahupun polis berhubung kegiatan itu.

Sehubungan itu, Mohd Shukri menasihati media supaya lebih berhati-hati dalam menyiarkan laporan seperti itu dan memeriksa sumber mereka serta mengesahkannya dengan pihak berkuasa terlebih dahulu.

Selain itu, polis turut menyanggah laporan akhbar berhubung terdapatnya kegiatan pelacuran di sebuah rumah urut di Wakaf Tapai, Marang ekoran satu serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen di premis berkenaan pada Ahad lepas.

Mohd Shukri berkata, walaupun terdapat tangkapan seramai 11 wanita warga China kerana disyaki menjadi pekerja di premis berkenaan dan melanggar syarat pas lawatan sosial, namun pihak Imigresen tidak menyatakan terdapat unsur-unsur pelacuran dalam laporan polis sebagaimana yang disiar oleh media.

"Pusat urut berkenaan yang mula beroperasi sejak Disember tahun lepas didapati hanya menyediakan perkhidmatan urutan badan, kaki, bekam, dan akupuntur kepada lelaki dan wanita warga tempatan," katanya.

Katanya, polis sentiasa membuat pengawasan ke atas rumah urut berkenaan dan pernah melakukan serbuan pada malam 23 Feb lepas dan telah memeriksa empat wanita warga China.

"Bagaimanapun tiada tindakan dilakukan ketika itu kerana kesemua mereka mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah dan polis percaya mereka yang ditahan pada Ahad lepas baru tiba untuk bekerja di premis itu.

Polis juga katanya, telah melakukan tiga serbuan ke atas premis utama pusat urut itu di Kuala Terengganu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan berjaya menahan seorang lelaki dan sembilan wanita warga China yang bekerja di premis itu.

Beliau berkata sehingga kini, pihak polis tidak menerima sebarang maklumat mengenai kegiatan pelacuran di pusat urut terbabit dan sehubungan itu beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat pelacuran agar dapar menghubungi mana-mana balai polis yag berhampiran untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain