suria

Tee Keat: Jangan Bertelagah Sesama Sendiri Semasa Pemilihan

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam pemilihan parti pada 28 Mac ini supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan tidak bertelagah sesama sendiri.

Menurutnya, sudah menjadi kelaziman di negara ini bahawa setiap parti politik akan mengadakan proses pemilihan mengikut prinsip demokrasi negara.

"Saya dan rakan-rakan rasa mungkin pertandingan kali ini sengit. Tapi ingat, ini pemilihan parti (semua) kena ikut peraturan.

"Jangan bertelagah sesama sendiri, itu pesanan saya," katanya kepada pemberita selepas Program Bersama Rakyat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu 2, anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor hadir sebagai tetamu kehormat program tersebut.

Tee Keat berkata, beliau sendiri belum menerima sebarang maklumat berhubung calon yang akan diumumkan.

Bagaimanapun beliau meminta semua bersabar sementara menunggu pengumuman senarai calon yang disahkan layak bertanding pada pemilihan parti itu, esok pagi.

Sementara itu, apabila ditanya tentang sejauh mana peluang beliau mempertahankan jawatan sebagai Presiden parti, Tee Keat enggan mengulas lanjut dengan alasan masih belum menerima pencalonan. "Bagi saya, manusia usaha, Tuhan yang tentukan," jawabnya ringkas.

Pada pemilihan kali ini, beliau akan dicabar oleh bekas timbalannya yang juga Pengerusi MCA Johor, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan mantan Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting.

Artikel Lain