suria

40 Penumpang Bas Ekspres Nyaris Maut

KUANTAN: Seramai 40 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila bas berkenaan terbabas dan terperosok ke dalam tali air di Km 42 Jalan Kuantan-Kemaman pagi tadi.

Bas tersebut dalam perjalanan dari Johor Baru menuju Kuala Terengganu apabila kejadian berlaku kira-kira 3.40 pagi.

"Pemandu bas terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di situ. Bas itu kemudiannya terbabas ke kiri jalan dan merempuh papan tanda sebelum terbalik dan menggelungsur serta terjunam ke dalam tali air," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha.

Pemandu berkenaan dikenali sebagai Mohamad Faizal Abdullah, 52, dari Kluang, Johor.

Zulkifli berkata, kesemua penumpang berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

"Seramai 34 penumpang dihantar ke Hospital Kemaman dan enam orang ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan, yang sebahagian daripada mereka telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Di dalam satu lagi kemalangan berasingan, seorang juruteknik Tenaga Nasional Berhad maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lagi kereta yang dinaiki dua wanita di Km 210, Jalan Kuantan Bypass berhampiran persimpangan Chengkih kira-kira 10.30 pagi ini.

Zulkifli berkata, Mohd Fariz Mohd Nor, 30, dari Kampung Hulu Cheka, Jerantut yang dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Kuantan menuju ke Bukit Ranggin meninggal di tempat kemalangan.

Kereta mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang sebuah lagi itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain