suria

22 Penagih Dan dua Pengedar Dadah Ditahan Ketika Leka 'Berurus Niaga' Dalam Hutan

KLANG: Seramai 22 orang dipercayai penagih dan dua pengedar dadah ditahan ketika masing-masing sedang leka menjalankan 'urus niaga' dalam kawasan hutan berhampiran sebuah kilang di Telok Gong di sini hari ini.

Kesemua mereka ditahan setelah sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor yang diketuai ASP Azmi Abdullah melakukan intipan dan operasi dari pukul 5 pagi hingga 2 petang ini.

Azmi berkata kesemua lelaki dipercayai penagih dadah yang ditahan itu berusia antara 18 dan 57 tahun, dipercayai menjadikan kawasan hutan berkenaan sebagai markas mereka kerana lokasinya yang jauh dari jalan utama.

"Antara lelaki yang dipercayai penagih dadah yang ditahan itu termasuk seorang warganegara Bangladesh dan seorang pesara anggota pasukan keselamatan.

"Berdasarkan soal-siasat yang dijalankan, kesemua mereka yang ditahan itu bekerja kilang dan ada juga penganggur serta kerap mendapatkan bekalan di kawasan hutan berkenaan sejak beberapa bulan lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah itu pula berumur lingkungan 30-an dan polis menemui dadah jenis heroin seberat 8.5 gram yang dibungkus dalam paket kecil pada mereka untuk dijual kepada penagih di kawasan berkenaan.

Azmi berkata pengedar yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 39A (2) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya manakala penagih pula mengikut Seksyen 3(1) Akta Rawatan dan Pemulihan.

Katanya kesemua suspek terbabit kemudian dibawa Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain