suria

Kukuhkan Semangat Perpaduan Antara Kaum Untuk Kepentingan Negara - Tengku Abdullah

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perkara utama yang perlu diwujudkan dalam mengukuhkan semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara pelbagai kaum di negara ini.

"Konsep 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat seperti yang digariskan dalam prinsip Rukun Negara.

"Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah sikap hormat-menghormati dan saling mempercayai antara kaum dan rakyat perlu faham bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis sambutan Maulidul Rasul peringkat Negeri Pahang di RTM Pahang di sini, malam tadi yang turut dihadiri isteri baginda Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Titahnya semua kaum perlulah menganggap mereka adalah bangsa Malaysia dan segala kemajuan yang dicapai perlu dinikmati secara bersama.

Tengku Abdullah bertitah melalui konsep 1Malaysia, tidak akan wujud perasaan tidak puas hati terhadap mana-mana kaum kerana semua rakyat mempunyai satu hala tuju dan citarasa untuk bersama-sama memajukan negara.

Baginda turut menyeru semua umat Islam meraikan sambutan Maulidul Rasul dengan hati yang ikhlas dan insaf serta beriltizam tinggi untuk bersama-sama melakukan perubahan untuk memperkasakan syariat Islam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain