suria

Anggota Tentera Maut, Motosikal Langgar Belakang Lori

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang anggota tentera untuk pulang bercuti sempena Maulidur Rasul bersama keluarga di kampungnya berkecai apabila maut setelah motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 433 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), berhampiran susur keluar Bukit Beruntung dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Bahagian Keselamatan Awam dan Trafik Selangor, Supt Che Hussin Omar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, mangsa, Isnin Sharif,22 dan masih bujang dikatakan dalam perjalanan pulang dari kem tentera di Taiping, Perak ke kampungnya di Muar, Johor selepas tamat bertugas.

"Selepas melalui satu selekoh di kawasan berkenaan, mangsa yang dipercayai menunggang motosikal dengan laju di lorong hujung tiba-tiba gagal mengawal kenderaan lalu merempuh lori yang membawa muatan perabot itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian itu disedari oleh sebuah lagi lori yang berada di belakang lori terbabit yang kemudian bertindak mengejar lori berkenaan kira-kira 500 meter bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya pemandu lori muatan perabot itu kemudian bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat anggota tentera itu mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Che Hussin berkata, pemandu lori itu kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarganya petang tadi.

Artikel Berikut

Artikel Lain