suria

Anwar Gagal Usaha Terakhir Dapatkan Dokumen Perbicaraan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam usaha perundangan terakhir beliau untuk mendapatkan dokumen penting termasuk sampel spesimen Mohd Saiful Bukhari Azlan sebelum perbicaraan kes liwatnya bermula.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin juga memutuskan bahawa Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan tidak memperuntukkan bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu.

Turut sama bersidang adalah Hakim Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Hakim Datuk Heliliah Yusof.

Hakim Zulkefli dalam penghakimannya berkata, kes Anwar tidak sesuai untuk disemak kerana isu yang dibangkitkan oleh Anwar dalam permohonan semakannya telah dipertimbangkan oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Anwar memohon mahkamah agar menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak rayuannya untuk mendapatkan dokumen berkenaan sebagai persiapan untuk membela diri pada perbicaraan kes liwat itu.

Pada 29 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar tidak berhak untuk mendapatkan dokumen dan bahan berkaitan kes itu kerana ia masih lagi di peringkat pra-perbicaraan.

Antara dokumen penting yang diminta ialah kenyataan-kenyataan saksi yang direkodkan daripada Mohd Saiful selain Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi dan tuan punya unit kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia, laporan perubatan dan rakaman kamera litar tertutup di kondominium tersebut pada waktu kejadian.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, 2008.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan yang dibuat oleh Anwar agar pihak pendakwaan membekalkan beliau dokumen berkenaan tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan selepas membenarkan rayuan pendakwaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum