suria

Spa Mewah Di Pudu Diserbu, 12 Pelacur Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuah spa mewah dan menahan 12 wanita warganegara asing yang dipercayai menawarkan khidmat seks di sebuah pangsapuri servis di Pudu di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan pukul 1 pagi oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur itu, wanita tersebut sedang menanti pelanggan untuk memberikan khidmat seks dalam premis berkenaan.

Pegawai Turus D7 Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur DSP Razali Abu Samah berkata wanita yang ditahan berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an dan terdiri daripada lima orang warganegara Thailand, empat dari Indonesia dan tiga China.

"Kesemua pelacur tersebut ditahan ketika menyembunyikan diri di tiga bilik berasingan di premis tersebut dan dipercayai sedang bersiap sedia untuk dibawa menemui pelanggan," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya pengurus spa berkenaan yang berumur 34 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua wanita tersebut datang ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana kesalahan menawarkan perkhidmatan seks," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain